SEMBILAN orang termasuk lima warga China ditahan disyaki terbabit kegiatan judi dalam talian menerusi dua serbuan di sebuah kondominium di Jalan Sultan Ismail, di Kuala Lumpur, Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata dalam serbuan pertama pada 11.15 malam, lima lelaki warga China berusia antara 23 dan 38 tahun ditahan di sebuah unit di bangunan berkenaan.
Beliau berkata sebanyak 39 telefon bimbit, sebuah komputer riba, pelbagai barangan lain serta wang tunai berjumlah RM2,185 dirampas dalam serbuan itu.
“Susulan itu, serbuan kedua dilakukan di unit berasingan pada 11.30 malam dan seramai tiga lelaki tempatan serta seorang wanita warga China berusia 22 hingga 30 tahun ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohamad Zainal, dalam serbuan kedua itu, polis turut merampas enam telefon bimbit, modem internet dan wang tunai berjumlah RM381.
Mereka yang ditahan dalam serbuan pertama direman tiga hari bermula semalam hingga esok manakala yang lain direman dua hari bermula semalam, katanya.
– Bernama, 17 Mei, 2021.
Komen