Gaza tergamam, Israel lancar serangan udara lagi


Serangan Israel subuh tadi di Gaza menyebabkan bekalan elektrik terputus dan memusnahkan ratusan bangunan. – Gambar EPA, 17 Mei, 2021.

SERANGAN udara Israel sebelum subuh tadi mengejutkan Semenanjung Gaza, hanya selepas seminggu keganasan berlaku antara zionis Yahudi dan pejuang Islam itu menyebabkan lebih 200 terkorban.

Pada masa sama, desakan antarabangsa semakin memuncak menggesa keganasan dihentikan.

Sepanjang malam tadi hingga awal pagi ini, Israel melancarkan berpuluh-puluh serangan dalam jarak beberapa minit saja ke arah kawasan padat penduduk rakyat Palestin yang ditadbir kumpulan Hamas.

Serangan itu menyebabkan bekalan elektrik terputus dan memusnahkan ratusan bangunan, kata pihak berkuasa. Setakat ini, tiada kehilangan nyawa dilaporkan.

Penduduk Gaza Mad Abed Rabbo, 39, berkata serangan itu amat menakutkan.

“Belum pernah ada serangan sebanyak itu,” katanya.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan 2 pagi waktu tempatan, tentera Israel berkata jet pejuangnya hanya menyasarkan tempat berlaku keganasan di Semenanjung Gaza.

Gazan Mani Qazaat berkata Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu sepatutnya sedar “kami hanya rakyat biasa, bukan pengganas”.

Serangan terbaru hari ini berlaku hanya sehari selepas 42 rakyat Palestin di Gaza – termasuk lapan kanak-kanak dan dua doktor – terbunuh, menjadikan ia jumlah kematian harian tertinggi sejak seminggu lalu.

Secara keseluruhan 197 rakyat Palestin terbunuh di Gaza termasuk sekurang-kurangnya 58 kanak-kanak, dengan lebih 1,200 yang lain cedera sejak Israel melancarkan kempen serangan udara terhadap Hamas pada 10 Mei. – AFP, 17 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen