DUA anggota kumpulan militan Islamic State (IS) yang merancang untuk melancarkan satu serangan bom kereta di Tripoli diberkas pada Isnin, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Kementerian Dalam Negeri Libya.
“Selepas menjejaki dan memantau pergerakan suspek, kedua-duanya ditahan dan mengaku menganggotai IS,” kata Pasukan Pencegahan dan Interferens Bersama, sebuah agensi keselamatan dalam Kementerian Dalam Negeri Libya, dalam platform media sosial Facebook.
Visual yang dimuat naik dalam Facebook oleh pasukan itu menunjukkan kedua-dua anggota IS mengaku merancang untuk melancarkan serangan bom kereta di ibu kota.
Suspek meletakkan sebutir bom berhampiran daerah perindustrian di pusat bandar Tripoli namun gagal meletupkannya sebanyak dua kali sebelum mereka diberkas.
Kedua-dua pengganas yang sebelum ini melarikan diri dari utara bandar Benghazi, turut mengaku merancang untuk mengebom tapak keselamatan dan ketenteraan dalam kawasan Al-Drebi di Tripoli namun gagal berbuat demikian lebih daripada sekali berikutan kesilapan teknikal.
Pada Sabtu, pasukan keselamatan berjaya mematikan dan membuka peranti letupan di sebuah pasar dalam kawasan Al-Drebi selepas menerima laporan.
Meskipun IS mengalami kekalahan di bandar-bandar bahagian utara iaitu Benghazi dan Sirte, pengganas yang berjaya meloloskan diri meneruskan serangan bom kereta dan bunuh diri di negara Afrika Utara itu, paling ketara ialah serangan pada Oktober tahun lepas di sebuah kompleks mahkamah di bandar Misurata, kira-kira 190 kilometer di timur Tripoli, yang meragut nyawa tiga anggota keselamatan.
Libya mengalami keadaan keselamatan yang tidak stabil serta kekacauan sejak kejatuhan rejim bekas pemimpin Muammar Gaddafi pada 2011, dan kini dibelenggu oleh pembahagian politik selain keganasan yang semakin meningkat. – Bernama, 9 Januari, 2018.
Komen