PROSEDUR operasi standard (SOP) yang tidak jelas dikeluarkan kerajaan Persekutuan dan pihak berkuasa negeri membuatkan pengusaha butik kecantikan pening kepala.
Ini kerana mereka bimbang jika akan melanggar SOP sekiranya membuka operasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) berkuat kuasa.
Kerajaan pusat membenarkan butik kecantikan meneruskan operasi di bawah PKP 3.0 tetapi dengan syarat yang ketat. Namun ada kerajaan negeri melarang industri ini daripada beroperasi.
Presiden Persatuan Anggun Menawan Malaysia (PAMM) Alvin Loh memberitahu The Malaysian Insigh bahawa SOP yang tidak jelas akan menjejaskan industri itu lebih teruk berbanding pelaksanaan PKP sebelum ini.
Beliau berkata peraturan yang ditetapkan kerajaan tempatan sangat berbeza.
Jelasnya Selangor dan Johor membenarkan butik kecantikan beroperasi tetapi Pahang tidak membenarkannya.
Malah bagi pusat kecantikan yang dibuka, ada beberapa larangan yang dikenakan.
Antaranya mereka tidak boleh menyediakan perkhidmatan membersihkan telinga, memotong bulu hidung, mengurut bahu dan kepala, rawatan muka, mencantikkan bulu kening dan beberapa larangan lain.
Mereka hanya boleh bergantung kepada penjualan produk kecantikan yang hanya menyumbang sebahagian kecil pendapatan.
“Tiada kluster Covid-19 daripada industri kecantikan tetapi nampaknya kami terpaksa berkorban lagi,” kata Loh.
“Berlaku kekeliruan dalam industri dan saya menggalakkan semua pengusaha untuk menghubungi kerajaan tempatan masing-masing bagi mendapatkan SOP terkini.”
Terdapat kira-kira 10,000 pengusaha salon di Malaysia dan sekurang-kurangnya 400 buah terpaksa gulung tikar selepas pelaksanaan PKP sebelum ini.
Laman Facebook PAMM menerima banyak mesej dan aduan.
Pengendali pusat kecantikan bimbang mereka akan didenda jika meneruskan operasi dan kni mereka mengambil sikap tunggu dan lihat.
Loh berharap kerajaan akan memberi SOP jelas dan syarat yang tidak menyusahkan industri itu yang sudah melalui tempoh sukar.
“Kami masih berhubung dengan pihak yang relecan untuk membincangkan SOP yang jelas,” katanya.
Beliau berkata 70% pendapatan butik kecantikan bergantung kepada perkhidmatan mereka manakala 30% lagi daripada jualan produk kecantikan. – 17 Mei, 2021.
Komen