KP kementerian raih kontroversi lepas hadir ke program kampus


Diyana Ibrahim

KP Kementerian Pendidikan Tinggi dilaporkan hadir ke program di UPM bersama sebilangan pelajar dan kakitangan pengurusan kampus yang dilaporkan sebagai satu majlis sambutan Hari Raya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mei, 2021.

KETUA Pengarah Kementerian Pendidikan Tinggi Husaini Omar nafi melanggar SOP Covid-19 ketika hadir satu program Universiti Putra Malaysia (UPM) pada hari raya pertama Aidilfitri.

Polis memulakan siasatan berhubung dakwaan itu.

Husaini memberitahu The Malaysian Insight beliau tidak melanggar sekatan perintah kawalan pergerakan (PKP) ketika kunjungannya ke program itu yang membabitkan kira-kira 800 pelajar, tetapi beliau enggan mengulas lanjut.

Husaini dilaporkan hadir ke satu program di UPM bersama sebilangan pelajar dan kakitangan pengurusan kampus yang dilaporkan sebagai satu majlis sambutan hari raya.

Laporan portal Malaysia Dateline menyebut, kehadiran Husaini ke acara tersebut melanggar ketetapan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang melarang sebarang penganjuran majlis.

Menurut laporan itu, program tersebut berlangsung dalam suasana “warna-warni” di Kolej Kediaman Ke-10 UPM dan dilancarkan sendiri oleh ketua pengarah tersebut.

Program itu juga dilengkapi dengan jamuan hari raya dan penyampaian sumbangan untuk mahasiswa, dakwa laporan itu dengan memetik satu sumber yang tidak dinamakan.

Laporan itu mendakwa, program itu juga dihadiri dua lagi timbalan naib canselor dan pegawai Kesatuan Kakitangan Am Universiti Putra Malaysia.

Acara berkenaan difahamkan melibatkan kira-kira 800 pelajar UPM dari Sabah, Sarawak dan antarabangsa yang tidak dapat pulang beraya.

Husaini ketika dihubungi The Malaysian Insight menafikan melanggar ketetapan PKP dalam kunjungan itu dan enggan mengulas lanjut.

Prosedur operasi tetap (SOP) sewaktu pelaksanaan PKP antara lain melarang segala perhimpunan rasmi atau tidak rasmi kerajaan dan swasta.

Pelaksanaan sewaktu sambutan Aidilfitri itu juga menegah penganjuran rumah terbuka hari raya, kunjung-mengunjung, kenduri kahwin, persidangan, acara doa selamat dan upacara perasmian. – 16 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen