Beban sukarelawan basmi kuman bertambah apabila Covid-19 makin teruk


Bernard Saw

KHIDMAT pembasmian kuman yang ditawarkan oleh parti politik mendapat sambutan tinggi akhir-akhir ini susulan permintaan daripada individu positif Covid-19 untuk membasmi kuman di rumah dan pejabat mereka.

Bagaimanapun, peningkatan jumlah jangkitan menyebabkan beberapa sukarelawan dalam pasukan pembasmian kuman ini dijangkiti virus berkenaan.

Ini juga memberi kesan kepada pasukan sukarelawan apabila mereka kekurangan tenaga kerja dan perlu melakukan lebih banyak kerja.

Peningkatan khidmat pembasmian kuman juga mengakibatkan kurangnya bekalan untuk beberapa sukarelawan ini terutamanya alat perlindungan diri (PPE) yang sangat penting.

Ketua Skuad Bantuan Krisis MCA Natalie Lim berkata ramai yang tidak meminta pertolongan mereka ketika wabak itu masih terkawal.

“Sebelum ini, apabila kami menawarkan khidmat pembasmian kuman, orang ramai merasa tidak perlu kerana semuanya terkawal.

“Tetapi kini dengan banyak tempat seperti sekolah, pusat membeli-belah dan tempat awam yang melaporkan banyak kes, ramai yang menghubungi kami untuk membantu mereka membasmi kuman di rumah,” katanya.

Menurut data dari MCA, pasukan sukarelawannya membasmi kuman di 290 premis di Selangor, Perak, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor sejak awal tahun ini.

Lim berkata, dari 290 premi, 142 adalah sekolah yang memberi manfaat kepada lebih 55,000 guru dan pelajar.

Mereka juga melakukan 153 khidmat pembasmian kuman di kawasan komuniti di mana 122 adalah di Johor.

Permintaan meningkat dua kali ganda

Sementara itu, ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dan Adun Balakong, Wong Siew Ki berkata bahawa permintaan untuk khidmat pembasmian kuman meningkat dua kali ganda sejak akhir-akhir ini.

Khoo berkata bahawa sukarelawan di kawasannya akan membersihkan rumah berdasarkan senarai yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan selepas pesakit Covid-19 dan keluarga mereka ditempatkan di pusat kuarantin.

“Apabila pandemik semakin memburuk, ada kira-kira 20 sehingga 30 keluarga yang memerlukan khidmat pembasmian daripada kami. Oleh itu kami akan menghubungi dan kemudian ke rumah mereka untuk melakukan kerja pembasmian kuman,” katanya.

Beliau berkata pada 9 Mei, pasukannya perlu pergi ke 30 sehingga 40 rumah untuk menyediakan khidmat pembasmian kuman.

“Kita terpaksa berpecah kepada dua kumpulan, jadi kita dapat membasmi kuman di lebih banyak tempat. Pada waktu pagi kami akan ikut senarai yang disediakan oleh KKM dan pergi ke Kg Baru Machap bagi membantu pihak berkuasa tempatan membasmi kuman di rumah 20 keluarga,” katanya.

Beliau menambah, jumlah keluarga yang memerlukan bantuan khidmat pembasmian kuman di rumah mereka meningkat setiap minggu sejak wabak makin memburuk.

“Ketika tidak seburuk ini, mungkin ada enam hingga lapan rumah setiap hari, tetapi kini kami akan dapat permintaan dari 10 sehingga 14 keluarga setiap hari,” katanya. – 16 Mei, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen