Katil ICU hampir penuh, kata KP Kesihatan


Kadar penggunaan katil di ICU di negara ini kini mencecah 80%, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah. – Gambar Facebook, 16 Mei, 2021.

KADAR penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) di negara ini kini mencecah 80%, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, walaupun jumlah katil untuk pesakit Covid-19 sudah ditambah.

“Walaupun kita selalu menambah jumlah katil ICU untuk pesakit Covid-19, dukacita dimaklumkan penggunaan katil ICU untuk pesakit Covid-19 di seluruh negara sudah mencecah 80%,” katanya di Facebook.

“Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Sarawak, Kedah dan Perak sudah melebihi kadar 80% dan ada hospital di mana katil ICU sudah digunakan sepenuhnya.”

Dr Noor Hisham berkata pada masa ini terdapat 1,388 katil ICU untuk menempatkan pesakit Covid-19 dan bukan pesakit Covid-19 di 78 hospital kerajaan dan hospital pengajar.

Daripada jumlah itu, 850 katil ICU dikhususkan untuk pesakit Covid-19, katanya.

Beliau berkata negara berdepan peningkatan kes dengan gejala teruk bagi kategori 4 dan 5, iaitu memerlukan bantuan oksigen dan pernafasan, terutama dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas.

Hospital pada masa ini menukar wad biasa kepada ICU sementara Covid-19 dengan katil dan keperluan peralatan.

Kementerian juga menggunakan peruntukan diberikan sejak tahun lalu bagi mendapatkan peralatan kritikal seperti katil, monitor pesakit dan beberapa alat lain.

“Saya menggesa rakyat Malaysia terus mematuhi SOP. Hanya keluar rumah jika perlu dan elak tempat sesak. Mari kita putuskan rantaian jangkitan Covid-19 bersama-sama,” katanya.

Semalam, negara menyaksikan rekod tertinggi 503 pesakit di ICU seluruh negara. Kes aktif juga meningkat kepada 42,135 daripada 41,471.

Jumlah kematian semalam direkodkan ialah 44 kes. – 16 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen