PIHAK berkuasa Singapura menahan 17 lelaki kerana dipercayai mencuri minyak dari kilang penapisan syarikat utama Shell, dan turut merampas tangki minyak dan wang tunai bernilai jutaan dolar, kata polis.
Suspek berusia antara 30 dan 63 tahun ditahan dalam satu serbuan di seluruh Singapura pada Ahad selepas syarikat Belanda itu membuat laporan pada Ogos. Shell berkata sebahagian suspek yang ditahan itu adalah kakitangan mereka.
Sejumlah AS$2.3 juta wang tunai dan tangki minyak 12,000 tan ditemui, manakala akaun bank suspek dibekukan, kata polis.
Minyak berkenaan dicuri dari tapak perindustrian Pulau Bukom di barat Singapura, di mana Shell menyifatkan kawasan itu sebagai tapak pengeluaran terpenting miliknya di seluruh dunia.
Shell tidak memberitahu berapa banyak yang dicuri dan enggan membincangkan siasatan itu.
“Kami mendapati berlaku kekurangan operasi bekalan di Bukom, tetapi pada masa ini kami menjangka akan terus memenuhi bekalan yang sudah dimeterai dengan pelanggan,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Singapura adalah salah satu hab perdagangan minyak terbesar dunia dengan kuantiti minyak mentah yang besar dari Timur Tengah melalui Singapura sebelum ke Asia Tenggara, dan beberapa syarikat minyak utama mempunyai kilang penapisan di republik itu. – AFP, 9 Januari, 2018.
Komen