Pusat akhbar utama Olimpik Pyeongchang mula dibuka


Seorang askar Korea Selatan berjalan di depan poster maklumat tentang Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 di PyeongChang yang akan diadakan bulan depan. – Gambar AFP, 9 Januari, 2018.

JAWATANKUASA penganjur Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 berkata ia membuka pusat media di PyeongChang pada Selasa, di mana wartawan dari seluruh dunia akan menyampaikan kemas kini masa nyata bagi acara yang berlangsung kepada khalayak antarabangsa, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.

Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik dan Paralimpik Musim Sejuk PyeongChang 2018 (POCOG) berkata Pusat Akhbar Utama (MPC) akan ditempatkan di Resort Alpensia, PyeongChang, yang terletak kira-kira 180 kilometer di timur Seoul, berhampiran venue untuk acara ski.

Temasya sukan itu dijadualkan berlangsung dari 9 Februari hingga 25 Februari di PyeongChang serta beberapa bandar berhampiran yang menjadi hos bersama iaitu Gangneung dan Jeongseon.

MPC akan dibuka sepanjang masa untuk menyediakan sokongan yang diperlukan, termasuk telekomunikasi dan pelbagai kemudahan lain, kepada wartawan.

Kira-kira 3,000 wartawan dari 58 negara siap sedia untuk berkunjung ke MPC, selain 270 wartawan Korea Selatan dari 68 media tempatan, kata POCOG.

MPC akan dibahagikan kepada tiga kawasan. MPC1 akan menempatkan ruang kerja utama dengan 400 tempat duduk untuk wartawan dan 100 untuk jurufoto, selain kemudahan seperti restoran serta ruang menunggu.

MPC2 menempatkan bilik sidang akhbar dengan 500 tempat duduk di mana Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa akan memberi taklimat kepada media.

Persidangan itu akan diterjemah ke dalam enam bahasa.

Kawasan ketiga akan disewa kepada 33 media yang menghantar sejumlah besar petugas termasuk Yonhap, iaitu agensi berita tuan rumah PyeongChang 2018, dan gergasi global lain seperti Associated Press, Reuters, AFP, Kyodo News dan Agensi Berita China Xinhua.

Jawatankuasa itu turut menyediakan “ruang kerja sub-media” dengan 180 tempat duduk di Gangneung, yang akan menganjurkan semua acara membabitkan ais.

Pusat Penyiaran Antarabangsa (IBC) disiapkan tahun lepas dengan petugas dari petugas Perkhidmatan Penyiaran Olimpik dan Syarikat Penyiaran Nasional AS membuat persiapan di venue itu.

Tarikh pembukaan rasmi IBC juga jatuh pada Selasa.

Bangunan lima tingkat IBC itu bakal menempatkan kira-kira 10,000 petugas dari 60 penyiar bagi menghantar video acara-acara yang berlangsung ke seluruh dunia. – Bernama, 9 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen