Tiada anak jantan bela Palestin!


RAMAI yang sudah dengar apalagi membaca bahawa sehingga artikel ini ditaip, seramai 83 orang maut manakala lebih 480 lagi cedera dalam serangan udara tentera Israel berterusan sejak beberapa hari lalu di Gaza.

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin yang dikendalikan oleh Hamas, sekurang-kurangnya 17 kanak-kanak antara mangsa terkorban dalam serangan tersebut.

Lapor BBC, pasukan perubatan Isreal mengesahkan sebanyak tujuh orang termasuk dua kanak-kanak maut di negaranya.

Lebih merisaukan apabila Kementerian Kesihatan di Gaza mengesahkan bahawa sejumlah penduduk Palestin terkorban akibat sesak nafas selepas terhidu gas beracun dari bedilan misil-misil tentera udara Israel di Genting Gaza.

Menurut agensi berita WAFA, punca kematian sejumlah jenazah yang telah dibawa dan diperiksa oleh pakar-pakar forensik di Kompleks Perubatan al-Shifa, Gaza mendapati kematian itu adalah disebabkan oleh masalah sesak nafas. Pakar-pakar forensik mendedahkan terdapat simptom yang menunjukkan sejumlah penduduk Palestin itu terhidu gas beracun.

Kemuncak kekejaman Zionis ini berlaku ekoran kemarahan dan penentangan keluarga Palestin di kawasan pendudukan Sheikh Jarrah di timur Baitulmaqdis yang dipaksa keluar berikutan peneroka haram Yahudi ingin menduduki tanah dan rumah penduduk asal dan sehingga kini sebanyak 400 orang sudah ditahan.

Jumaat, pada hari raya kedua saya mendengar khutbah yang dibacakan khatib mengenai konsep istiqamah, tetap kepada ketaatan kepada Allah walaupun selepas bulan Ramadhan.

Oleh itu apa yang kita amalkan dan kerjakan di bulan Ramadan seperti mengerjakan solat sunat, bertadarus, berzikir, berdoa, beriktiqaf, bersedekah dan sebagainya, semua itu hendaklah diteruskan dan diamalkan di bulan-bulan yang lain untuk menjadi pembakar semangat supaya kita terus berusaha meningkatkan ketakwaan dan keimanan kepada Allah.

Amalan-amalan itu tidak seharusnya dilakukan secara berkala dan bermusim tetapi sebaiknya dilakukan secara istiqamah atau konsisten yakni berterusan.

Namun khutbah tersebut tidak mengaitkan istiqamah umat Islam dalam mempertahankan bumi Palestin. Keteguhan, sabar, keimanan dan ketakwaan berterusan pada bulan Ramadan seharus diteruskan oleh pemimpin umat  Islam dalam perjuangan menentang penjahahan Israel ke atas bumi Palestin.

Tiada negara Islam yang sanggup memimpin, membela dan mempertahankan umat Palestin, hanya Hamas dan beberapa pertubuhan lain di Gaza yang sanggup mengorbankan diri membalas keganasan rejim iblis zionis. Mereka sanggup menggadai nyawa demi menyelamatkan Masjid Al Aqsa dan umat Islam di Baitulmaqdis dengan mengalihkan tumpuan kepada Gaza.

Tiada anak jantan dalam kalangan negara Islam sekarang, semua sekadar membuat kenyataan mengutuk, memiliki iman yan paling tipis dengan sekadar bersuara.

Inilah sebab Israel boleh membuat sesuka hati ke atas warga Palestin, Tiada abang besar yang menjaga dan menaungi Palestin. Tiada negara Islam yang menggerunkan sang penjajah zionis ini.

Mereka berani sebab banyak abang besar di belakang mereka iaitu Amerika dan sejumlah negara Eropah.

Di manakah pertubuhan Fatah atau PLO yang mentadbir Tebing Barat. Hanya penduduk Islam di sekitar Masjid Al Aqsa dan kawasan Baitulmaqdis Timur yang membela diri, masjid dan kawasan sekitar.

Presiden Palestin Mahmoud Abbas sekadar berkata “Enough is enough!” Beliau memberikan kononnya amaran keras terhadap Amerika Syarikat dan Israel untuk menamatkan pencerobohan ke atas tanah Palestin.

Beliau menegaskan rakyat Palestin tidak akan meninggalkan tanah air mereka. Bayangkan Mahmoud Abbas memberikan kata dua kepada AS dan Israel, adakah ini suatu lawak di pentas antarabangsa?

“Enough is enough!” bagi Hamas ialah menyerang Israel di samping mengorbankan diri mereka. Adakah Fatah masih terikat dengan Perjanjian Oslo membuatkan PLO dan Fatah sudah hilang taring sekadar menjadi pengurus majlis perbandaran di dalam genggaman Israel hinggakan mereka tidak boleh berbuat apabila penjajah zionis menyerang penduduk di Baitulmaqdis Timur.

Kalangan negara Islam terutamanya negara Arab sudah kehilangan kejantanan mereka untuk mempertahankan Masjid Al Aqsa, apatah lagi Baitulmaqdis dan Gaza kerana semua telah menjadi lembu dicucuk hidung.

Mesir telah dikasi kejantanannya berikutan Perjanjian Kem David, perjanjian politik yang ditandatangani oleh Presiden Mesir Anwar Sadat dan Perdana Menteri Israel Menachem Bermula pada 17 September 1978. Jordan telah menjalin hubungan dengan Israel pada 1994.

Trend negara Arab sekarang adalah mengadakan hubungan baik dengan rejim haram Israel atau disebut normalisasi. Emiriah Arab Bersatu (UAE) adalah negara Arab Teluk pertama yang memulai hubungan normalisasi rasmi dengan Israel.

Normalisasi dilakukan dalam berbagai bidang seperti keamanan dan teknologi. Menyusul kemudian ialah Bahrain dan Sudan.

Kerajaan Magribi adalah negara Arab terbaru yang melakukan normalisasi hubungan secara resmi dengan negara Yahudi, Israel. Dengan demikian, enam negara Arab mengadakan hubungan diplomatik dengan rejim haram itu.

Normaliasasi negara-negara Arab yang berdamai dengan Israel itu menandakan pengakuan rasmi terhadap kedaulatan negara penjajah Yahudi tersebut.

Kesepakatan negara-negara Arab dengan Israel itu melalui Abraham Accord dipandang sebagai pengkhianatan terhadap perjuangan Palestin dan rakyatnya.

Negara Arab tersebut mengingkari komitmen yang telah lama mereka sepakati, dalam mendukung kemerdekaan dan kedaulatan Palestin. Mereka telah tidak istiqamah dalam perjuangan mempertahankan bumi Palestin.

Kritikan daripada negara-negara Arab tersebut terhadap tindakan Israel ibarat tanam tebu di bibir mulut suatu formaliti yang dangkal makna.

Tujuannya untuk menggelabui mata umat Islam kerna hati mereka tidak dengan Palestin sekadar menghadirkan kritikan mereka di mata antarabangsa, suatu norma bagi negara Islam setiap kali Palestin dibedil oleh sang penjajah Israel.

Bahkan desas-desus mengatakan Arab Saudi, Qatar, Oman dan Mauritania sedang mengorak langkah untuk menormalisasikan hubungan dengan negara haram Israel.

Turki menggesa dunia Islam mengambil tindakan diplomatik yang lebih tegas bagi melindungi penduduk Palestin dan mendesak kepada inisiatif Pertubuhan Negara Islam atau OIC (seperti disindir sekadar Oh I See) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya menyatakan pendirian mereka.

Malaysia pernah membenarkan diplomat Israel hadir World Urban Forum (WUF) di Kuala Lumpur tiga tahun lalu. Malaysia menyertai serta aktif mepromosi Expo Dubai tahun ini yang turut disertai Israel.

Duta Khas Timur Tengah bertaraf menteri, Abdul Hadi Awang masih tidak menunjukkan ketegasan dalam membela umat Islam Palestin. Suatu penyataan sebulat suara daripada ahli Parlimen Malaysia harus diutarakan seperti yang pernah dilakukan dahulu. Bagaimanakah pendirian dasar luar negara yang terkenal dengan ketegasannya dalam isu Palestin.

Perdana Menteri Malaysia pernah mengunjungi Gaza bagi menyatakan sokongannya kepada Hamas suatu ketika dahulu. Bahkan PAS dahulukan begitu kental dalam kritikannya terhadap Israel.

Menurut Mohamad Sabu ketika Parlimen seluruh dunia bersuara membantah keganasan Israel ke atas umat Palestin, Parlimen Malaysia gagal untuk berbuat demikian kerana ia tidak dibenarkan bersidang walaupun Yang di-Pertuan Agong sudah menitahkan darurat tidak menghalangnya bersidang. – 15 Mei, 2021.

 

* Ismail Hashim Yahaya merupakan pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual, Pengkomputeran di Universiti Selangor (Unisel).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen