Tempoh darurat Turki dilanjutkan 3 bulan


Tempoh darurat Turki sedia ada tamat pada 19 Januari dan ia akan dilanjutkan untuk kali keenam sejak pengisytiharannya pada awal 2016. – Gambar fail EPA, 9 Januari, 2018.

TURKI akan melanjutkan tempoh darurat selama tiga bulan lagi, kata Timbalan Perdana Menteri, Bekir Bozdag pada Isnin, lapor agensi berita China Xinhua .

Beliau berkata, lanjutan tempoh itu diputuskan menerusi mesyuarat Kabinet sebagaimana yang dinasihatkan Majlis Keselamatan Negara.

Tempoh darurat sedia ada tamat pada 19 Januari dan ia akan dilanjutkan untuk kali keenam sejak pengisytiharannya pada awal 2016.

Lanjutan tempoh darurat itu juga diluluskan dengan majoriti mudah oleh Parlimen Turki, di mana parti yang memerintah mempunyai 316 daripada 550 kerusi Parlimen.

Turki mengumumkan darurat buat pertama pada 20 Julai 2016, berikutan percubaan rampasan kuasa yang gagal, menyebabkan kira-kira 250 orang terbunuh manakala 2,200 lagi cedera.

Di samping itu, Turki turut melancarkan operasi besar-besaran untuk memburu penyokong Fethullah Gulen, seorang pendakwah yang kini menetap di Amerika Syarikat (AS) dan dituduh sebagai dalang di belakang rampasan kuasa tersebut.

Bagaimanapun Gulen menafikan tuduhan itu.

Ketika Turki berusaha untuk mengekstradisi Gulen dari AS, ketegangan meningkat di antara kedua-dua negara kerana sehingga kini Washington menolak permintaan Turki dengan alasan kekurangan bukti. – Bernama, 9 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen