Majoriti 533 kes baharu Covid-19 Sarawak dari individu kuarantin


Desmond Davidson

439 dari 533 individu positif di Sarawak hari ini adalah mereka yang sudah dikuarantin, kata JBPN Sarawak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mei, 2021.

439 dari 533 kes baharu Covid-19 di Sarawak hari ini adalah dari mereka yang sudah diasingkan dari masyarakat dan dalam kuarantin, kata jawatankuasa pengurusan bencana negeri.

Menurut kemas kini hariannya, jawatankuasa itu berkata mereka adalah individu yang telah diarahkan kuarantin kerana telah dikenal pasti sebagai kontak rapat orang yang dijangkiti.

Mengulas lanjut, jawatankuasa itu berkata 380 daripada mereka tidak menunjukkan gejala jangkitan walaupun mereka adalah kontak rapat dengan kes yang dijangkiti.

Ujian Covid-19 pada mereka menunjukkan mereka turut dijangkiti.

59 adalah kes baharu dari kluster aktif, 56 diuji positif ketika disaring di klinik kesihatan atau hospital, sementara 38 lain telah mendapatkan rawatan untuk gejala yang berkaitan dengan jangkitan.

Jawatankuasa bencana menyatakan dari 533 kes baharu, 324 atau 60.78% adalah dari lima daerah iaitu Miri (109 kes), Kapit (69), Sibu (58), Bintulu (46) dan Kuching (42).

Hari ini Sarawak melaporkan kematian akibat jangkitan iaitu melibatkan seorang wanita berusia 60 tahun yang meninggal dunia di hospital awam Sarawak di Kuching semalam.

Mangsa juga menghidap diabetes dan darah tinggi.

Sementara Jabatan Kesihatan negeri mengumumkan berakhirnya kluster Jalan Sultan Iskandar di Bintulu, ia juga mengumumkan yang kluster baharu iaitu sebuah rumah panjang di Sungai Rayah di Meradong.

13 penduduk setakat ini diuji positif dalam pengesanan kes terbaharu.

Negeri ini setakat ini mempunyai 83 kluster aktif di mana 12 daripadanya menyumbang 65 kes baharu. – 14 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen