Suku Mah Meri setinggan, notis kosongkan tanah ikut prosedur, kata PNSB


Raevathi Supramaniam

Notis halau dilekatkan di sebuah tandas di Kampung Orang Asli Mah Meri Bagan Lalang. Hari ini PNSB berkata tanah didiami suku Mah Meri sejak 20 tahun itu adalah setinggan dan pengusiran mereka dibuat berlandaskan undang-undang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 14 Mei, 2021.

SUKU Mah Meri diusir dari kampung halaman mereka di Bagan Lalang kerana mereka telah menduduki tanah itu lebih 20 tahun, kata pemilik tanah Permodalan Negeri Selangor Bhd (PNSB) hari ini.

“Perlu difahami tanah di mana Mah Meri bina kampung mereka itu bukan tanah adat mereka dan keputusan untuk mengusir mereka dibuat sesuai dengan undang-undang,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

PNSB berkata mereka telah membuat kunjungan lokasi secara rawak ke tanah tersebut sejak 2017 dan telah mengadakan perbincangan dengan pejabat tanah dan daerah Sepang pada November tahun lalu dan 12 April tahun ini.

“PNSB telah mengikuti semua prosedur dan syarat diperlukan dalam notis pengusiran kepada semua pihak yang berkenaan.

“Tidak ada bantahan terhadap notis yang disampaikan kepada penduduk kampung pada 20 April di hadapan pegawai dari pejabat tanah, PDRM dan PNSB.”

Ia juga mengulangi apa yang diberitahu kepada The Malaysian Insight sebelum ini bahawa notis pengusiran berfungsi sebagai peringatan penduduk kampung adalah penduduk setinggan di situ.

PNSB turut mengesahkan pihaknya telah menerima surat rayuan meminta diberikan lebih masa untuk keluar oleh penduduk kampung, Taha Bin Akhir yang merupakan Tok Batin Kg Orang Asli Bukit Bangkung, merangkap penjaga Kg Bagan Lalang.

“Berdasarkan surat itu, kami terbuka untuk rundingan dan bersedia mempertimbangkan bagi memberi mereka lebih banyak masa untuk keluar dengan mempertimbangkan keadaan sekarang ini,” kata syarikat itu.

36 Orang Asli dari 12 keluarga di Kampung Orang Asli Bagan Lalang diberikan notis pengusiran, dengan tempoh masa 30 hari dari tarikh notis untuk keluar.

Suku Orang Asli itu mula meneroka tanah itu lebih kurang 20 tahun lalu. Mengakui sebagai setinggan di situ, mereka telah meminta perlanjutan tempoh, selain berkata mereka tidak dijemput berbincang sebelum menerima notis pengusiran itu dengan pilihan yang terhada untuk penempatan semula.

Ketua kampung Taha menyebut bulan puasa, Hari Raya, pandemik Covid-19 dan fakta bahawa penduduk kampung tidak ada tempat untuk keluar sebagai alasan untuk perlanjutan tempoh keluar.

Tanah yang diduki mereka berada sangat dekat dengan pantai berpasir yang menghadap Selat Melaka, selain Avani Sepang Gold Coast Resort juga terletak tidak jauh dari situ.

PNSB memberitahu The Malaysian Insight tanah itu akan dibangunkan menjadi destinasi pelancongan di bawah projek pembangunan Sepang GoldCoast.

Notis pengusiran dari jabatan perundangan PNSB menyatakan Plot No 69, HS (D) 18372, PT 5249, Plot No 70, HS (D) 18373, PT 5250, HS (D) 37248 dan PT 9925 adalah milik syarikat.

“Secara keseluruhannya, PNSB memiliki 167.61 ekar tanah sementara pejabat tanah dan daerah memiliki satu hektar tanah berhampiran bangunan Pasukan Gerakan Am (GOF) di kampung,” katanya. – 14 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen