Exco Terengganu, jiran didenda RM2,000 langgar SOP Hari Raya


Azman terperangkap dalam kontroversi melanggar SOP PKP setelah jirannya mengunjungi rumahnya di hari pertama Aidilfitri. – Gambar Facebook Azman Ibrahim, 14 Mei, 2021.

ANGGOTA Exco Terengganu, Azman Ibrahim telah membayar denda kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan bukannya menghadapi pendakwaan.

Katanya polis telah menawarkan kompaun atas kesalahannya dan beliau memutuskan untuk membayar.

“YB (saya) juga dihukum sebagaimana rakyat biasa dengan kadar tawaran kompaun yang sama. InsyaAllah akan dijelaskan seberapa segera. Tiada siapa yang berada di atas dari undang-undang,” kata Adun Jabi itu dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri Terengganu itu bagaimanapun tidak menyatakan jumlahnya tetapi dalam hantaran berasingan beliau meminta orang ramai menyemak nilai denda itu dengan polis.

Azman terperangkap dalam kontroversi melanggar SOP PKP setelah jirannya mengunjunginya semalam, yang merupakan hari pertama Hari Raya Aidilfitri.

Bagaimanapun, Sinar Harian melaporkan Ketua Polis Daerah Besut Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata Azman dan jirannya, Zakaria Mahmud, diberi kompaun sebanyak RM2,000 untuk pelanggaran SOP.

Awal semalam, Azman berkata beliau tidak mengadakan rumah terbuka tetapi hanya satu atau dua orang yang datang ke rumahnya seperti biasa namun mendakwa orang datang ke rumahnya atas pelbagai sebab.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mengumumkan PKP di seluruh negara bermula 12 Mei hingga 7 Jun bagi mengekang penularan Covid-19.

Di bawah SOP, rumah terbuka dilarang diadakan tahun ini. – 14 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen