Ucapan berapi Oprah pada majlis Golden Globe cetus spekulasi ingin ceburi politik


Ucapan Oprah Winfrey pada majlis Anugerah Golden Globe mencetuskan spekulasi kemungkinan berminat untuk bertanding merebut jawatan presiden Amerika Syarikat pada 2020. – Gambar EPA, 9 Januari, 2018.

OPRAH Winfrey pada hari Ahad mengisytiharkan “hari baru” bagi wanita dan remaja perempuan yang berdepan lelaki pendera semasa memberi ucapan hebat di Anugerah Golden Globe, mencetuskan cakap-cakap yang beliau ingin menceburi bidang politik.

Tidak berapa lama selepas menyampaikan kenyataan melalui siaran televisyen pada majlis gala Hollywood itu, para peminatnya menggesa beliau bertanding mencabar Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada 2020, walaupun beliau tidak memberi sebarang petunjuk yang memperlihatkan beliau berminat.

Winfrey, 63, yang rancangan bual bicaranya pernah popular sedikit masa dahulu dan menjadikannya seorang jutawan, menyampaikan ucapan bersemangat dan tegas yang membangkitkan isu jantina, kemiskinan dan kaum ketika menerima anugerah pencapaian seumur hidup.

Beliau memuji gerakan #MeToo yang mendapat perhatian selepas beberapa siri pendedahan salah laku seksual besar-besaran oleh tokoh perfileman jutawan,Harvey Weinstein.

Beliau turut memberi penghormatan kepada Recy Taylor, seorang wanita Afrika Amerika yang dengan berani melaporkan kejadian rogol dialaminya oleh enam lelaki kulit putih pada 1944 di Alabama dan meninggal bulan lalu sebelum sempat menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-98, Winfrey kesal “budaya diruntuhkan oleh lelaki berkuasa yang kejam.”

“Sejak sekian lama, wanita tidak pernah didengari atau dipercayai jika mereka berani mengatakan kebenaran kepada orang yang berkuasa. Tetapi masa mereka sudah tamat! Masa mereka sudah tamat!” kata Winfrey yang menerima tepukan daripada hadirin yang berdiri serta kelihatan sesetengahnya mengalirkan air mata.

“Jadi, saya mahu semua gadis yang menonton di sini sekarang yang hari baru sudah tiba,” kata Winfrey.

“Dan apabila hari baru itu muncul, ia pasti kerana ramai wanita yang hebat - ramai di antaranya di sini malam ini - dan beberapa lelaki yang cukup fenomenal, berjuang keras untuk memastikan mereka menjadi pemimpin yang akan membawa kita ke masa yang tiada siapa akan mengatakan ‘me too’ lagi,” katanya. – AFP, 9 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen