Menteri kesihatan nafi doktor hanya selamatkan pesakit muda Covid-19


Ragananthini Vethasalam Raevathi Supramaniam

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba nafi dakwaan sistem penjagaan kesihatan negara sudah lumpuh seperti di India.– Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mei, 2021.

DAKWAAN bahawa doktor diarah supaya hanya memberi alat bantuan pernafasan kepada pesakit muda ekoran sumber yang terhad di unit rawatan rapi tidak benar, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

“Tidak benar. Kita belum sampai ke tahap itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata demikian apabila ditanya sama ada sistem penjagaan kesihatan negara sudah lumpuh seperti di India sehingga terpaksa mengutamakan pesakit muda tanpa sejarah penyakit berbanding pesakit tua.

“KKM (Kementerian Kesihatan) sentiasa meningkatkan kapasiti dan bekalan peralatan bagi memastikan keperluan semua pesakit dipenuhi,” tambah menteri itu.

Seorang doktor barisan hadapan baru-baru ini dalam satu hantaran di Twitter berkata pesakit kritikal Covid-19 berusia 60 tahun dan mempunyai komorbiditi tidak akan diberi alat bantuan pernafasan. Keutamaan akan diberi kepada pesakit muda yang tidak mempunyai sejarah penyakit, katanya dalam catatan yang kemudian dipadam.

Sementara itu, beberapa doktor barisan hadapan yang ditemu bual The Malaysian Insight juga nafi menerima arahan seperti itu.

Seorang doktor di Terengganu berkata tiada arahan seperti yang didakwa atau khabar angin mengenainya, yang melanggar etika perubatan.

“Melainkan sumber benar-benar terhad, misalnya ada 300 pesakit tetapi alat bantuan pernafasan cuma ada 100, maka kerajaan mungkin akan arah demikian.

“Tetapi buat masa ini situasi terkawal,” katanya.

Tambah doktor berkenaan, tidak adil membezakan pesakit mengikut kategori usia, dan sebarang keputusan sama ada pesakit perlu diberi bantuan pernafasan bergantung kepada beberapa faktor.

“Apabila kita buat keputusan untuk beri bantuan pernafasan, banyak perkara perlu diambil kira. 

“Ia dibuat berdasarkan keadaan pesakit, kecukupan infrastruktur dan tenaga manusia serta keputusan pesakit sendiri,” katanya. – 13 Mei, 2021. 

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen