DAP lepaskan 2 kerusi untuk tawan Ayer Hitam


Ooi Choong Han

DAP melepaskan kerusi di Melaka dan Johor kepada Bersatu untuk bertanding di Ayer Hitam, kawasan kubu kuat MCA yang pada masa ini dipegang oleh timbalan presiden parti itu, Dr Wee Ka Siong.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight bahawa DAP bersetuju untuk tidak bertanding di kerusi Parlimen Alor Gajah dan Tanjung Piai, dan memberikannya kepada Bersatu.

Kedua-dua kerusi itu pada masa ini dipegang oleh MCA.

Jika sekurang-kurangnya 15% pengundi Melayu di Ayer Hitam beralih kepada pembangkang, Wee Ka Siong akan kalah.

“Wee sepatutnya sangat risau sekarang,” katanya.

Pakatan Harapan (PH) memuktamadkan rundingan agihan kerusi 165 kerusi persekutuan di Semenanjung Malaysia dan mengumumkannya pada konvensyen semalam.

Bersatu akan bertanding di 52 kerusi, PKR 51, DAP 35 dan Amanah 27.

DAP diberikan kurang satu kerusi berbanding PRU pada 2013.

Wee sudah tiga penggal di Parlimen Ayer Hitam. Beliau menewaskan calon PAS pada 2013 dengan majoriti 7,310 undi.

Tanjung Piai dipegang bekas timbalan menteri belia dan sukan Wee Jeck Seng, yang menewaskan DAP pada 2008 dan 2013.

Alor Gajah dimenangi Koh Nai Kwong daripada MCA pada 2013 dengan majoriti 11,597 undi.

Setiausaha Organisasi Nasional DAP Anthony Loke memberitahu lidah pengarang parti itu The Rocket dalam temu bual yang disiarkan secara langsung di Facebook malam tadi bahawa parti itu memutuskan untuk melepaskan Alor Gajah kerana Bersatu mempunyai peluang lebih cerah untuk menang di kawasan majoriti Melayu itu.

Sejak diwujudkan pada 1974, kawasan Alor Gajah menjadi kubu kuat Umno. MCA mengambil alih kerusi itu pada 2004 dan berjaya mempertahankannya sehingga PRU lalu. – 9 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Mampus la wee ka siong

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan