Selamat hari raya, penyamun dan pengkhianat


Haris Hauzah

UMAT Islam di negara ini sekali lagi akan menyambut hari raya pada tahun ini dalam PKP. Tidak seperti tahun lalu, sambutan hari raya tahun ini terasa lebih pedih dan menyakitkan. Kemeriahannya dipenuhi dengan warna-warni peristiwa yang penuh haru biru.

Di luar sana ada peniaga kecil yang tak dapat untung berniaga. Malah mereka diperbudak-budakkan dengan macam-macam syarat dan arahan. Itu belum lagi kita ambil kira peniaga yang tidaklah untung sebanyak mana, kemudian dibeban dengan kompaun akibat denda pula.

Di luar sana masih ada ramai orang Melayu Islam yang dipotong gaji, dipotong elaun dan dibuang kerja. Penghuni PPR yang mahu menyambut raya masih merana tak tahu nak buat apa kerana kehabisan wang simpanan buat bertahan pada sepanjang PKP 1.0 dan PKP 2.0.

Di luar sana ada anak-anak sekolah yang sudah putus asa dan mula hilang minat dengan persekolahan mereka. Internet yang ada di rumah mereka lembapnya masih serupa, sementara komputer riba yang dijanjikan kerajaan langsung tak dengar cerita.

Itu semua hanyalah secebis daripada sebahagian kecil kisah bagaimana kita pada tahun ini menyambut raya.

Negara ini sedang diurus oleh sekumpulan pengkhianat hasil dari kerja mencuri mandat yang mereka rampas dari sebuah pilihan raya.

Oleh kerana semenjak dari mula Pakatan Harapan (PH) menang pilihan raya naratif permainan politik negara ini hanyalah tentang untung rugi Melayu Islam sahaja, polemik kalah menang Melayu Islam tiba-tiba jadi terpaling utama. Sampailah PH ditumbangkan dalam suatu gerakan paling tiada moral dan tidak beragama. 

Pakatan politik terpaling Melayu Islam itu kemudiannya menubuhkan kerajaan serta melantik kesatuannya melalui ‘scheme of things’ yang Muhyiddin Yassin sendiri sebut dalam satu rakaman memetik ‘restu’ Yang di-Pertuan Agong.

Hari raya tahun ini kita menyaksikan betapa terpaling Melayu dan Islamnya kerajaan yang kita ada.

Hingga kita dapat melihat semboyan umat Melayu Islam di negara ini tergamak meniupkan angin kebencian dengan menyerang, menumbuk, menampar dan melondehkan topeng muka insan lain.

Sepuluh malam terakhir Ramadan kita digegarkan dengan banyak perkara yang memalukan. Terlihat ketara bagaimana dungunya umat Melayu Islam hari ini membesarkan niqab seorang perempuan lebih daripada memuliakan kemanusiaan. Oleh kerana itu yang “melangkawi” SOP dan yang “menilai” karpet itulah yang diberikan peluang besar bercakap tentang Islam dalam program agama di TV.

Semenjak ada politikus Melayu Islam yang menjunjung pengkhianatan sebagai bahagian daripada perjuangan, ketidakadilan malah jadi satu trend kebanggaan yang seronok ditayangkan.

Menteri agama dan ustaz-ustaz selebriti seharusnya tahu. Ada ayat dalam surah al-Baqarah yang menekankan bahawa puasa Ramadan seharusnya melahirkan manusia bertakwa yang pintar dan kental – muslim yang berdiri tegak pada asas paksi prinsip sosial, yakni sejenis ketakwaan yang faham, mahu dan setia untuk berpegang pada keadilan dan kesetaraan sosial yang Nabi ajarkan.

Inilah kesimpulan dari ibadah berlapar pada sepanjang Ramadan, kerana tidak dikatakan bertakwa seseorang itu selagi dia belum mampu memberikan keadilan kepada rakyat dan menzahirkannya dengan perbuatan di depan masyarakat. 

Menteri agama tentulah bukan seorang tukang tahnik atau tiang seri majlis perkahwinan pasangan selebriti. Dia harus tahu yang majlis tahnik seorang selebriti kayangan tidak terbanding dengan kemelaratan tiga orang ibu tunggal yang berjuang sendirian tak mendapat perhatian pusat zakat dan baitulmal.

Ustaz-ustaz yang sibuk mengampu selebriti kayangan dan khayal dengan kemahsyuran program di TV perlu tahu – Islam hadir untuk membebaskan sekalian manusia daripada ikatan tali-tali penindasan kelas yang menjijikkan. Islam bawaan Nabi membebaskan seluruh manusia daripada himpitan ketidakadilan sosial dan kemelaratan ketidakadilan. 

Agamawan yang terlalu sedap ketawa dalam rancangan komedi harus mengerti yang Islam menolak segala bentuk tirani dan hegemoni. Dominasi serta eksploitasi dalam segala sisi kehidupan telah Allah tegaskan dengan sepotong ayat: “Berlaku adillah kerana itu lebih dekat kepada takwa.” 

Di luar sana bukan saja ada pendedahan menteri Melayu Islam yang menyalahgunakan kuasanya demi tujuan menekan musuh politik. Malah ada menteri yang sedap makan gaji buta tak perlu menjawab apa-apa di Parlimen.

Kesibukan malam terakhir Ramadan sekalian agamawan kita hanyalah pembaziran, malah hanyalah pengkhianatan kepada Tuhan apabila mereka diam dan bersekongkol dengan setan yang menyuburkan kebobrokan, ketidakstabilan dan ketidakadilan. 

Kembali kepada fitrah yang disebut-sebut agamawan adalah penipuan. Kerana pada hakikatnya mereka turut sama menunjal-nunjal lima prinsip Rukun Negara sampai ke jurang. 

Kemuliaan mereka percuma hilang lantas kerana seluruh prinsip keadilan, moral dan akhlak negara ini sesedapnya diinjak dan disepak sampai tercampak ke lubang sebuah negara gagal yang gelap dan dalam. 

Selamat hari raya diucapkan kepada penyamun dan pengkhianat. Semoga hidup kalian semuanya terlaknat. – 13 Mei, 2021. 

* Haris Hauzah, pengamat filem dan Ahli Sidang Utama Komuniti Filem Titiwangsar (Komfit).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen