Dasar bekerja dari rumah tak praktikal, kata pengusaha PKS


Khoo Gek San

Jawatankuasa Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia berkata pendigitalan perniagaan memerlukan modal yang tinggi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mei, 2021.

DASAR bekerja dari rumah (BDR) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak berjaya seperti yang kerajaan harapkan kerana kebanyakan perniagaan sukar untuk beroperasi secara digital, kata jawatankuasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Pengerusi Jawatankuasa Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) Koong Lin Loong berkata pandemik Covid-19 menjejas pendapatan dan aliran tunai, menghalang syarikat meningkatkan keupayaan teknologi maklumat bagi membolehkan BDR dilaksanakan dengan jayanya.

Ini kerana pendigitalan perniagaan memerlukan modal yang tinggi, kata Koong kepada The Malaysian Insight.

“Tanpa modal yang mencukupi untuk menaik taraf teknologi, banyak syarikat mendapati dasar BDR sukar dilaksanakan.

“Daripada maklum balas yang kami terima dari ahli gabungan, dasar BDR yang diguna pakai di pelbagai syarikat lemah dan tidak cekap, yang seterusnya menjejaskan aliran tunai,” jelasnya.

Semasa pelaksanaan PKP sebelum ini, dasar BDR menetapkan hanya 30% kakitangan bekerja di lapangan atau pejabat. 

Namun, Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob yang juga jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 30 Mac lalu berkata syarat pematuhan 30% kehadiran pekerja di pejabat di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dibatalkan berkuatkuasa 1 April.

Malaysia melaksanakan PKP kali ketiga (PKP 3.0) bermula semalam sehingga 7 Jun, selepas jangkitan Covid-19 di seluruh negara meningkat lebih 2,000 kes sehari dari pertengahan April hingga awal Mei. Kes terus melonjak sehingga 4,765 semalam.

Ahad lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memberi amaran akan tiba masanya negara tidak mempunyai katil unit rawatan rapi (ICU) yang mencukupi berikutan kes aktif kini mencecah 40,000.

Kluster tempat kerja juga banyak kes harian, walaupun Kementerian Kesihatan (KKM) berkata kes sporadik lebih tinggi berbanding kes kluster dan sudah menular dalam komuniti. 

Untuk mengimbangi dasar BDR dengan operasi ekonomi dan perniagaan, Koong mencadangkan 60% kakitangan operasi dan 40% lagi di bahagian pengurusan dibenarkan bekerja di lapangan.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia Shamsuddin Bardan tidak mudah bagi syarikat melaksanakan pendigitalan perniagaan.

“Walaupun pendigitalan akan meningkatkan kecekapan syarikat, tetapi ia memerlukan dana yang besar. Tidak semua majikan ada peruntukan tambahan untuk menaik taraf kepada perniagaan digital semasa pandemik.

“Ditambah dengan rakyat kurang berbelanja dan ketidakpastian akibat PKP 3.0, tahun ini adalah tahun yang sukar buat majikan,” kata Shamsuddin.

Tambahnya, kebanyakan majikan tidak yakin perniagaan akan pulih tahun ini, berdasarkan program imuniasasi Covid-19 yang perlahan diikuti larangan mengupah pekerja asing. – 13 Mei, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen