PENINGKATAN kes sporadik dan kepadatan penduduk menjadi sebab utama mengapa Selangor mendahului carta kes jangkitan Covid-19 di seluruh negara.
Bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad yang mengetuai Selangor Task Force Covid-19 (STFC) memberitahu The Malaysian Insight 80% daripada kes di negeri itu berpunca daripada kes sporadik.
Kes sporadik adalah kes yang tiada kaitan dengan mana-mana kluster, menjadikan pengesanan dan ujian saringan sukar dilakukan.
Beliau berkata walaupun negeri itu membangunkan sistem pengumpulan data kecerdasan buatan (AI) nya sendiri, Acura, untuk Covid-19 tahun lalu, ia tidak mampu mencapai potensi penuh berikutan kekurangan data daripada Kementerian Kesihatan.
Setakat semalam (12 Mei), Selangor yang mempunyai lebih enam juta penduduk, merekodkan 147,829 kes kumulatif Covid-19 iaitu yang tertinggi di negara ini sejak permulaan pandemik pada Mac tahun lalu.
Angka ini menjadikan 30% daripada 453,222 jumlah kumulatif kes yang direkodkan di seluruh negara pada tempoh yang sama.
Pada awal bulan, Selangor merekodkan lebih 600 kes jangkitan baharu harian. Angka ini semakin meningkat, dan melepasi 1,000 pada 2 Mei.
Semalam, negeri itu merekodkan 2,082 kes jangkitan baharu daripada 4,765 jumlah keseluruhan kes Covid-19.
Setakat ini jumlah keseluruhan kes di negeri itu adalah 5,861, manakala jumlah kes kematian adalah 443.
The Malaysian Insight menemubual Dr Dzulkefly untuk mendapatkan gambaran lebih jelas berhubung apa yang berlaku di Selangor dan pandangan beliau mengenai perintah kawalan pergerakan (PKP 3.0) yang dilaksanakan kerajaan.
Q: Apakah cabaran yang dihadapi dalam mengesan kes sporadik memandangkan ia tidak berkait dengan mana-mana kluster?
A: Kes sporadik yang tidak berkait dengan mana-mana kluster memerlukan pengesanan kes aktif besar-besaran dalam kalangan masyarakat - bagi mereka disingkan secepat mungkin dan tidak membenarkan mereka berkeliaran dan menjangkiti individu lain tanpa disedari.
Virus ini bijak, dan apa yang lebih teruk, ia mampu bermutasi untuk hidup dan mengelak daripada mekanisme antibodi dan sel. – 13 Mei, 2021.
Komen