Trump tidak akan jalani ujian mental


White House berkata pemeriksaan perubatan Donald Trump pada Jumaat ini tidak termasuk penilaian psikiatri. – Gambar AFP, 9 Januari, 2018.

PEMERIKSAAN perubatan Donald Trump yang dijadualkan minggu ini tidak termasuk penilaian psikiatri, kata White House semalam apabila semakin ramai yang mempertikaikan kesihatan mental presiden Amerika Syarikat (AS) itu.

Mengulas berkenaan perkara itu, jurucakap Hogan Gidley hanya berkata: “Tidak.”

“Beliau masih sangat sihat,” kata Gidley kepada wartawan di atas pesawat Air Force One.

Trump, 71, akan menjalani pemeriksaan di hospital tentera Walter Reed di kawasan pinggir bandar Washington pada Jumaat dan keputusannya akan diumumkan kepada orang ramai.

Ketika kempen presiden pada 2016, Trump menyiarkan surat dikeluarkan oleh doktornya Harold Bornstein yang menyatakan beliau berada dalam keadaan fizikal yang terbaik.

Bornstein sebelum ini menulis mengenai kesihatan Trump, dengan pada 2015 menyatakan beliau akan menjadi “individu paling sihat yang pernah dilantik sebagai presiden”.

Berang dengan penerbitan buku yang mencetuskan keraguan tentang mentalnya, Trump melepaskan marahnya menerusi Twitter pada hujung minggu lalu dengan menggambar dirinya sebagai “genius yang sangat stabil” dan “sangat bijak”. – AFP, 9 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen