DELEGASI pegawai kanan Korea Selatan berlepas ke Korea Utara untuk satu rundingan yang jarang berlaku selepas berbulan-bulan ketegangan berlaku susulan program senjata nuklear Pyongyang.
Ketua delegasi Seoul berkata mereka akan berusaha keras untuk memperbaiki hubungan yang sekian lama tegang.
Rundingan itu diadakan selepas pemimpin Korea Utara Kim Jong-un dalam ucapan Tahun Baru berkata Pyongyang sedia menghantar delegasi atlet ke Olimpik Musim Sejuk di Korea Selatan.
Seoul membalasnya dengan satu tawaran dialog peringkat tertinggi dan minggu lalu, tarikh rundingan dimeterai antara kedua-dua negara berjiran selepas digantung selama dua tahun.
Sejurus sebelum delegasi lima anggota dari Seoul berlepas untuk rundingan yang diadakan di perkampungan damai Panmunjom, Menteri Penyatuan Cho Myung-Gyun berkata kedua-dua pihak akan fokus kepada penyertaan Korea Utara dalam Olimpik Pyeongchang tetapi agenda akan turut memasukkan cara untuk memulihkan hubungan.
“Hari ini, kami akan membincangkan penyertaan Korea Utara dalam Olimpik dan Paralimpik Pyeongchang serta isu memperbaiki hubungan antara dua negara Korea,” katanya.
Seoul berminat untuk mengisytiharkan kejohanan di Pyeongchang itu yang terletak hanya 80km dari Zon Bebas Tentera (DMZ) memisahkan dua negara itu sebagai, “Olimpik Aman”, ketika Korea Utara galak melakukan ujian nuklear dan senjata.
Jika Korea Utara bersetuju, antara agenda utama ialah sama ada dua atlet utama kedua-dua negara akan masuk bersama ketika acara pembukaan dan penutup, sama seperti ketika Sydney 2000, Athens 2004 dan musim sejuk 2006 di Turin.
Jumlah dan keahlian delegasi Korea Utara dan tempat penginapan mereka – dijangka dibayar oleh Seoul juga akan dibincangkan.
Kumpulan itu mungkin menginap di kapal persiaran di Sokcho, kira-kira sejam dari venue Olimpik – yang membolehkan pergerakan mereka dipantau dan dikawal. – AFP, 9 Januari, 2018.
Komen