.jpg)
SEPERTI pada tahun lepas, sambutan raya tahun ini kembali secara virtual. Kehadiran fisikal beraya di kampung halaman menjadi sesuatu yang perlu dihindari, mengingat kes Covid-19 di negara kita yang berada dalam keadaan terumbang ambing.
Sambutan hari raya tidak akan sempurna jika tidak dilakukan dengan kehadiran secara fizikal di kampung halaman namun seperti amalan puasa kita dapat menahan diri daripada makan dan minum dan perkara-perkara yang lain maka pilihan terbaik yang ada sekarang adalah menahan diri untuk tidak balik ke kampung halaman. Oleh itu balik raya secara virtual.
Sudah dua tahun umat Islam di negara ini tidak dapat balik raya menyambut Aidul Fitri. Pada 2020, tradisi balik raya dilarang kerajaan ketika pandemik Covid-19 baru saja terjadi.
Kecemasan yang begitu menakutkan dengan dilatarbelakangi ketidaktahuan orang awam tentang virus dari Wuhan, China itu.
Tahun ini, pada awalnya suasananya sudah berbeza sedikit. Gagasan tentang normal baharu dan adaptasi kelaziman atau resam baharu dengan SOPnya disampaikan pihak kerajaan dan ramai yang akur dan mula beradapatasi.
Beriringan dengan vaksinasi Covid-19, perhatian terhadap ancaman Covid-19 mulai mengendur. Masyarakat telah mulai rasai kelonggarannya dan kebebasan terutamanya ketika PKPB.
Namun ramai yang telah menyalahgunakan kelonggaran tersebut dan tidak mengikut SOP dan sikap kerajaan yang yo-yo itu kerana masih gagal membendung wabak ini menyebabkan tradisi balik raya dilarang.
Peningkatan kes yang mendekati angka 5,000 begitu membimbangkan.
Teknologi komunikasi dan informasi telah memudahkan balik kampung secara virtual. Melalui platform aplikasi konferensi video, seperti Zoom, Webex, Big Blue Button, Google Meet, WhatsApp dan seumpamanya, kita dapat saling mengucapkan selamat hari raya Idul Fitri.
Pertemuan keluarga yang jauh terpisah dapat dilakukan dengan melibatkan banyak orang dalam platform konferensi video. Meskipun harus diakui bahwa balik raya virtual tidak sama dengan balik raya fisik secara nilai sosial dan tradisi, namun inilah pilihan terbaik yang ada.
Maka balik raya virtual telah menjadi temasya di medan simulakra. Apa yang dimaksudkan dengan simulakra? Segala perbicaraan mengenai dunia virtual dan budaya penghidupannya tidak lari daripada konsep pasca realiti.
Ini bermakna pengguna Internet apabila memasuki ruang siber, segala mesej di medsos (media sosIal), trul, konferensi video, penghantaran sticker, rakaman audio-visual terangkum dalam kehidupan pasca realiti, menjalani kehidupan tidak berpijak di realiti fizikal. Mereka telah menjalani hidup yang melampau realiti.
Dunia simulakra adalah antara konsep utama yang merangkumi pasca realiti. Konsep simulakra adalah salinan dari yang asal, suatu replika, peniruan, manipulasi reprentasi dan penghasilan semula atau salinan atau kapi daripada yang asal. Penggunaan perkataan atau konsep ini adalah mengikut konteks dan keadaan.
Oleh itu simulakra adalah penciptaan suatu keadaan tertentu melalui wahana teknologi dan media dan ia boleh digunakan untuk tujuan politik, sosial, ekonomi, budaya dan dalam hal ini sambutan idul fitri.
Tujuannya ada yang bersifat infomatif, fakta, penerangan, ceramah dan boleh juga berunsur fitnah, manipulasi, lelucon, sindiran dan hiburan. Ia disiarkan seperti benar-benar berlaku katakan jika balik raya ke kampung secara fizikal dilarang, dunia simulakra boleh diwujudkan melalui teknologi simulasi reka bentuk multimedia dengan menggunakan aplikasi tertenrtu menjadikan ia seolah-olah benar-benar berlaku, suati salinan atau representasi daripada yang asal.
Apa yang kita terima, baca, dengar daripada medsos umpamanya seolah-olah suatu temasya dunia simulakra pengganti balk kampung secara fizikal sedang berlaku. Kekadang ia menjadi kekuatan pengganti dunia sebenar.
Apa yang membimbangkan ia akan menjadi sesuatu yang kekal. Bagi kebanyakan generasi muda, balik kampung adalah suatu ritual sekadar berjumpa datuk, nenek dan saudara mara.
Sesekali mereka menikmati juadah tradisional dan menghirup udara nyaman di sawah bedang dan suasana hening di kampung.
Mereka tidak memahami erti balik raya ke kampung dengan tautan kerohanian, kembali ke fitrah, ke akar umbi kerana bagi mereka adakah kampung yang mereka balik itu ada wifi yang pantas dan kuat. Jika tidak balik raya akan menjadi suatu kehangatan akan sejuk dengan cepat.
Generasi muda akan lebih menggemari dunia simulakra daripada dunia sebenar, mereka lebih cenderung kepada ruang melampau realiti, menanggalkan identiti, menyalahi logika dan melampaui batas-batas realiti
Mereka lebih berminat kepada temasya balik raya virtual dengan segala kecanggihan dalam dunia Youtube, Instagram, FB, WhatsApp dan Tik Tok (menjadi trendy sekarang) dan permainan video terutamanya semasa sambutan Raya Puasa.
Jika sambutan hari raya tidak hadiri oleh aplikasi ini maka sambutannya akan terasa sunyi. Mereka (malah orang dewasa juga) suka memperagakan baju baharu dan juadah raya di medan simulakra tersebut.
Mereka suka kepada sentuhan Like atak komen memuji atau dengan sua foto. Ia menghadirkan balik raya virtual yang imaginari.
Ada masanya tanpa disedari kekuatan simulakra ini berkemampuan menghanyutkan kita dalam menghasilkan tanda-tanda yang menyimpang daripada realiti, percampuran dan pergaulan antara kepalsuan dan kebenaran, menciptakan tanda-tanda sebagai topeng yang berselindung di sebalik pelitupnya.
Ketika segala sesuatu tidak lagi memiliki asasnya atau tempat ia berdiri, ia akan memasuki suatu medan yang di dalamnya berkembangnya fakta, visual atau audio yang melampaui batas atau melanggar hukum haram dan tata susila realiti yang tidak berasaskan adab agama dan budaya serta moraliti.
Apa yang dikembangkan ialah Aidil Fitri yang dipenuhi hilai tawa, penuh hiburan, lawak bodoh yang menjengkelkan, budaya memperaga dan kebongkakan yang mengenepi dan menghilangkan makna sambutan Eid Mubarak dengan ciri kerohanian, keagamaan, budaya dan tradisi suci.
Balik raya virtual menjadi sambutan yang kosong makna.
Wabak Covid-19 telah memutuskan hubungan fizikal ini dan menggalakkan lagi keyakinan pengguna maya terhadap beraya di dunia simulakra.
* Ismail Hashim Yahaya adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komuniakasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen