Mencari telus dalam kes 1MDB


The Malaysian Insight

PERANGAI buruk umum tindakan dahulu sebelum umum perinciannya sedang menular di Malaysia.

Mula-mula, tindakan kerajaan dengan pelbagai akronim sekatan Covid-19 menjejaskan hidup rakyat jelata dengan peraturan yang berubah-ubah mengikut arahan menteri atau kemarahan umum.

Kemudian, tindakan undang-undang yang diambil oleh Kementerian Kewangan melalui 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International apabila mengemukakan 22 saman menuntut berbilion ringgit yang rugi dalam skandal 1MDB.

Kementerian Kewangan semalam mengesahkan empat firma guaman memfailkan saman pada 7 Mei selepas akhbar bisnes The Edge melaporkan tindakan mahkamah itu.

Laporan itu memetik sumber mendedahkan bahawa kerajaan mengambil langkah tersebut selepas penyelesaian kes dengan Goldman Sachs, AmBank dan Deloitte untuk menunjukkan ia “serius mahu mendapatkan semula duit yang diseleweng dari 1MDB”.

Namun, tidak seorang pun yang disebut dalam laporan itu melihat writ saman atau pernyataan tuntutan terhadap mereka.

Satu daripadanya Deutsche Bank, yang berkata ia tidak tahu menahu tentang tindakan saman itu, beberapa jam selepas Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ menggugurkan siasatan mengenai 1MDB ke atas bank Jerman itu. Pihak-pihak lain yang dihubungi berkata mereka juga masih menunggu butiran lanjut atau sekurang-kurangnya writ saman.

Seorang sumber perundangan memberitahu The Malaysian Insight, wartawan mahkamah The Edge cukup cekap menghidu saman dalam sistem mahkamah pada hujung minggu lalu.

“Kami fail saman dan ada masa sebulan untuk menyerahkan dokumen. Wartawan yang rajin itu dapat sebelum orang lain,” kata sumber, dan menambah hal sama pernah berlaku dalam beberapa kesnya yang lain.

Namun wartawan lain yang juga rajin malah peguam pun tidak jumpa writ saman itu dalam sistem mahkamah sehingga laporan mengenainya terbit.

Tahniah kepada wartawan dan akhbar itu kerana mendahului yang lain. Ini bagaimanapun menimbulkan pertanyaan akan ketelusan proses Putrajaya mendapatkan balik duit 1MDB yang dibangkitkan oleh pemegang saham minoriti apabila AmBank diam-diam membuat penyelesaian RM2.83 bilion dengan Kementerian Kewangan untuk mengelak ke mahkamah.

Atau misalnya juga Deloitte. Hanya penyelesaian Goldman Sachs dihebahkan tetapi itupun kerana kerajaan Pakatan Harapan lebih awal mendedahkannya kepada umum.

Peguam kanan yang terlibat dengan beberapa syarikat ini terkejut dan bingung dengan hebahan mengenai proses ini sebelum butiran mengenainya atau writ saman diserahkan kepada anak guam mereka.

Apa sebabnya jadi begini? Atau, apakah memang dasar kerajaan untuk keluarkan arahan dan saman dahulu dan kemudian baru menjelaskannya ikut selesa.

Tindak balas menangani Covid-19 seperti itu tidak berjaya. Peraturan sekatan yang berbeza dan perintah darurat tidak juga mengurangkan jumlah jangkitan atau kematian apatah lagi mengembalikan keyakinan dan ekonomi, tidak seperti negara-negara lain.

Kementerian Kewangan diterajui seorang ahli perbankan yang berpengalaman. Ia satu kerjaya yang mengutamakan ketekunan dan pemikiran yang berhati-hati. Sudah menjadi tanggungjawab Kementerian Kewangan dan peguamnya untuk memastikan tindakan mereka telus atau nanti akan ada tanggapan bahawa ia hanya wayang.

Atau seronok sendiri bagi peguam yang berkokok mereka sudah berjaya memfailkan saman, atau bagi kementerian yang cepat bertindak biarpun sistem keadilan lembap.

Tentulah tidak boleh begitu. Sudah banyak duit yang rugi dan mesti dipungut semula untuk Malaysia. Ini bukannya untuk mencari nama. – 11 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen