HARI ini Umno meraikan ulang tahunnya yang ke-75.
Umno jika ingin berkuasa semula mesti kembali berpadu. Segala elemen kepuakan atau kecenderungan kepada tokoh atau kumpulan tertentu tidak akan menguatkan parti.
Jika gagal menanganinya, jiwa, kedudukan dan kekuatan Umno pastinya akan menyurut.
Pada 2018, Umno menghadapi pilihan raya dengan perpaduan yang kukuh.
Umno juga pada waktu itu menguasai kerajaan. Namun kita tewas jua. Waktu ini kita tidak menguasai kerajaan. Parti pula tidak berada dalam kedudukan yang kukuh.
Jika kita tidak bersatu, maka kita pasti tidak akan boleh menang dalam PRU akan datang.
Kita mesti sedar, zaman telah berubah. Memenangi hati dan keyakinan pengundi bukan kerja yang mudah.
Mereka mempunyai naluri, kepentingan dan pemikiran yang sangat kompleks.
Parti yang berpecah, bercakaran semasa sendiri dan tidak berpadu, akan mematikan keyakinan pengundi terhadap parti tersebut.
Salah satu sebab kenapa Pakatan Harapan (PH) berjaya ditumbangkan ialah bila parti utama yang membentuk PH, iaitu PKR dan Bersatu berpecah. Kerana perpecahan inilah, sebuah kerajaan yang dibentuk dengan mandat kukuh daripada rakyat boleh ditumbangkan.
Perpecahan dalaman itu adalah laksana barah yang akhirnya mematikan.
Umno dan segala segmen di dalamnya mesti kembali bertaut.
Pilihan raya akan datang, kita mesti hanya ada satu pasukan, iaitu pasukan Umno. Bukan pasukan mewakili segala kluster.
Memikirkan nasib Umno, saya sangat risau. Ramai yang terlalu memikirkan diri sendiri dan bukan parti, apatah lagi bangsa Melayu, Islam dan Malaysia.
Sempena 75 tahun Umno ini, ambilah pedoman daripada Hikmah Imam Al Ghazali. “Kita adalah makhluk yang suka menyalahkan dari luar, tidak menyadari bahawa masalah biasanya dari dalam”.
Kepada rakan-rakan dalam Umno, dari kepimpinan tertinggi kepada pendukung dilapangan, marilah kita berpadu demi sang Umno yang kita perjuangkan.
Berlapang dada dan bertolakansur serta bersatulah dalam kita mengemudi perjalanan sukar parti kita.
Akhirnya cita-cita kita adalah untuk Umno itu kembali mengemudi tanah air ini demi sumpah kita untuk perjuangan agama, bangsa dan negara.
Selamat ulang tahun ke-75 Umno. – 11 Mei, 2021.
* Mohamed Khaled Nordin, naib presiden Umno.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen