Polis Shah Alam adakan 5 sekatan jalan raya


4 sekatan jalan diadakan secara bergerak mengikut kesesuaian, kata polis Shah Alam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mei, 2021.

SATU sekatan jalan raya (SJR) tetap dan empat SJR bergerak dilaksanakan di kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam susulan penguatkuasaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 6 Mei lepas.

Ketua Polis IPD Shah Alam ACP Baharuddin Mat Taib berkata satu SJR tetap dijalankan arah masuk Shah Alam di plaza Tol Bukit Jelutong manakala selebihnya akan dilaksanakan secara bergerak mengikut keperluan dan keadaan tempat.

“Empat SJR bergerak akan dikendalikan oleh balai-balai (bawah IPD Shah Alam) iaitu Balai Polis Sri Muda, Bukit Jelutong, Seksyen 9 dan  Seksyen 6,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan SJR Plaza Tol Bukit Jelutong hari ini.

Baharuddin berkata pihaknya juga turut menggerakkan lebih 10 pasukan peninjau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP di samping pasukan khas bagi menjalankan aktiviti pencegahan jenayah menjelang sambutan perayaan Aidilfitri.

Katanya, sebanyak 26 pegawai dan 147 anggota  terlibat dalam penugasan berkaitan COVID-19 serta pematuhan SOP khususnya menjelang Aidilfitri pada Khamis ini. – Bernama, 10 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen