Polis tahan lelaki pecah masuk kuarters guru


SEORANG lelaki tempatan yang memecah masuk sebuah kuarters guru sekolah menengah di Felda Tenggaroh 5 di Mersing, ditahan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Mersing Supt Cyril Edward Nuing berkata, tangkapan dibuat kira-kira 9 pagi, sejam selepas polis mendapat maklumat daripada orang awam.

“Ketika kejadian, pengadu (orang awam) sedang membuat tinjauan di kawasan kuarters guru berkenaan dan mendapati pintu belakang sebuah rumah yang ditinggalkan penghuni telah terbuka dan melihat lelaki tersebut di dalam rumah, lantas memaklumkannya kepada polis.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Balai Polis Sungai Ambat telah pergi ke lokasi kejadian dan berjaya menahan lelaki terbabit. Turut dirampas satu pemotong besi dipercayai digunakan untuk memecah masuk,” katanya ketika dihubungi di Mersing malam ini.

Cyril berkata berdasarkan semakan, lelaki berusia lingkungan 30-an itu mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah dan beliau kini ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini untuk disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – Bernama, 10 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen