Pemuda PKR Selangor berbeza pandangan, seru sokong Dr M calon PM


Pada konvensyen tahunannya di Shah Alam semalam Pakatan Harapan mengesahkan pengerusinya, Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri dan Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon timbalannya, apabila dapat mandat rakyat PRU14 nanti. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 8 Januari, 2018.

PEMUDA PKR Selangor menyeru penyokong Pakatan Harapan (PH) menerima keputusan pemilihan Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri gabungan pembangkang itu kalau menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Kenyataan itu dikeluarkan selepas PKR Selangor menyatakan “pendirian yang berbeza” tidak setuju dengan keputusan gabungan pembangkang itu menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri PH.

“Saya seru seluruh pendukung perjuangan untuk berjiwa besar menerima keputusan ini dan kembali fokus kepada agenda utama untuk menumbangkan Umno dan Barisan Nasional (BN). 

“Hentikan segera polemik ketidakpuasan hati kerana ia akan menjejaskan kestabilan politik Pakatan Harapan,” kata Setiausaha Pemuda PKR, Syed Badli Shah Syed Osman dalam satu kenyataan media.

Pada konvensyen tahunannya di Shah Alam semalam PH mengesahkan pengerusinya, Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri dan Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon timbalannya, apabila dapat mandat rakyat PRU14 nanti.

Keputusan itu diumumkan selepas empat parti dalam PH – Bersatu, PKR, DAP dan Amanah – mencapai konsensus menghadapi pilihan raya umum yang perlu diadakan sebelum Ogos ini.

Jelas Syed Badli, keputusan yang dicapai itu tentulah dibuat selepas dibahas dan ditimbang baik buruknya dari semua sudut, oleh keempat-empat parti dalam PH.

“Pada saya kita boleh berbeda pandangan dan cadangan sebelum keputusan dibuat. Namun setelah kata putus dicapai, ia perlu dipertahankan dan dihormati. 

“Kita perlu berjiwa besar menerima keputusan demi meneruskan agenda yang lebih utama,” katanya.

Ketua Biro Komunikasi PKR Selangor, Hizwan Ahmad sebelum ini melahirkan rasa “terkilan dan kecewa” dengan penamaan Dr Mahathir itu, setelah 20 tahun PKR berjuang membetulkan kerosakan ciptaan Umno dan Barisan Nasional dengan slogan “Reformasi”.

PKR diasaskan pada 1999 – ketika itu memakai nama Parti Keadilan Nasional – untuk melawan Dr Mahathir.

Katanya, golongan muda mahukan tokoh yang sesuai dengan zaman dan berpandangan jauh untuk mengeluarkan Malaysia daripada pelbagai masalah yang dicipta oleh Umno dan BN.

“Rakyat tidak mudah lupa, penggerak asli Reformasi juga tidak akan lupa. Reformasi total mesti ditegakkan dari semua aspek. Baik sistem, dasar, pentadbiran dan juga pentadbirnya,” kata Hizwan.

Dalam ucapannya di konvensyen PH semalam, Dr Mahathir mengaku terhutang budi selain mengucapkan terima kasih kepada Anwar kerana sanggup menerimanya dan mengetepikan sengketa politik mereka sejak 20 tahun lalu, untuk bekerjasama menjatuhkan Perdana Menteri Najib Razak, 

Bekas perdana menteri itu turut mengakui tekanan yang dihadapi oleh keluarga Anwar susulan tindakan yang dilakukannya terhadap bekas timbalannya itu. 

Dr Mahathir berkata, beliau sedar perjuangan untuk menjatuhkan Umno memerlukan kerjasama pembangkang kerana parti itu sukar ditumbangkan jika beliau bergerak sendirian. – 8 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen