Sindiket curi kenderaan mewah 'Geng King' tumpas


SINDIKET curi kenderaan mewah dikenali sebagai “Geng King” tumpas susulan penahanan 13 individu termasuk dua wanita warga asing dalam beberapa siri serbuan sejak 1 Mei hingga ke hari ini.

Kesemua mereka yang berusia lingkungan 24 hingga 54 tahun itu ditahan di Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Yong Lei Choo berkata lima kenderaan mewah antaranya jenis Toyota Hilux, Alphard dan Toyota Fortuner dianggar bernilai RM1 juta turut dirampas.

“Sindiket yang aktif sejak 2018 ini menyasarkan kenderaan mewah dengan menyalin frekuensi kunci kenderaan semasa ditinggalkan serta menggunakan ‘jammer’ (penyesak) yang menyebabkan sistem GPS (Sistem Pengesanan Global) tidak berfungsi, sekali gus menggagalkan cubaan mengesan kenderaan terbabit.

Kenderaan ini akan dibawa ke Kelantan oleh ahli sindiket sebelum diseludup ke negara jiran menggunakan laluan haram dan rangkaian ahli mereka,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata siasatan mendapati ahli sindiket itu menerima upah RM2,500 bagi setiap kenderaan mewah yang dicuri dan akan menjual kereta itu untuk pasaran di negara jiran dengan harga RM35,000.

Yong berkata sebanyak 62 kes kecurian kenderaan mewah yang dianggarkan bernilai RM6.2 juta di Lembah Klang berjaya diselesaikan dengan penahanan ahli sindiket itu.

Kesemua mereka yang ditahan itu tidak mempunyai rekod jenayah dan masih berada dalam tahanan reman untuk siasatan lanjut. – Bernama, 10 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen