Jadikan ulang tahun ke-75 hari kebangkitan Umno


TANGGAL 11 Mei adalah hari kelahiran parti politik orang Melayu yang terulung di negara ini iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Pekembar) atau dalam bahasa Inggeris, United Malays National Organization (Umno). Parti politik yang lahir di Istana Johor dengan linangan air mata orang Melayu itu kini berusia 75 tahun.

Dalam meniti usia jubli intan ini, kita saksikan Umno sedang bergelumang dengan pelbagai masalah yang berpunca atas sebab integriti pemimpin Umno sendiri.

Saya menyertai Umno pada 1947, iaitu setahun selepas Umno dilahirkan. Saya melibatkan diri sejak awal penubuhannya pada tahun 1946 lagi tetapi ketika itu saya tidak dapat mendaftar keanggotaan kerana masih di bangku sekolah.

Sebagai veteran Umno, saya yakin ramai juga veteran Umno lain sangat sedih dan kecewa melihat konflik dalaman Umno yang sedang berlaku.

Ini kerana Umno sebuah parti yang sangat sinonim dengan orang Melayu dan jasa  Umno terlalu banyak untuk dibandingkan dengan mana-mana parti politik lain di negara ini.

Sumbangan Umno

Menyingkap kembali perjuangan Umno, seluruh rakyat Malaysia harus mengetahui fakta negara ini dibentuk oleh Umno. Ini kerana Umno adalah antara pihak yang terlibat dalam merangka perlembagaan negara ini.

Umno juga membentuk Malaya menjadi Malaysia dan tiada sesiapa pun boleh menafikan segala kemudahan yang dinikmati oleh rakyat Malaysia adalah hasil perjuangan pemimpin Umno terdahulu.

Ketika British cuba mengambil alih kuasa Raja-Raja Melayu menerusi gagasan Malayan Union, tiada sesiapa pun yang melawan British kecuali orang Melayu yang bersatu dalam Umno menentang sehingga rancangan British itu gagal.

Umno menyelamatkan institusi Raja-Raja Melayu di negara ini dan Umno  yang memastikan perlembagaan negara mengandungi perkara berkaitan syiar Islam dengan menjadikan Islam sebagai agama persekutuan disamping agama-agama lain bebas diamalkan oleh rakyat Malaysia.

Siapapun tidak dapat menafikan fakta sebelum tanah Melayu dijajah British, negeri-negeri dalam negara ini diperintah dan dikuasai oleh orang Melayu menerusi sistem monarki.

Sudah tersurat dalam takdir Ilahi walaupun negara ini dirempuh dan dijajah dengan kuasa asing bermula dengan Siam, Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun namun kedaulatan Raja-Raja Melayu tidak tergugat sehingga ke hari ini.

Umno mengetuai gerakan merdekakan negara ini dan setelah British menyerahkan semula negara ini kepada Raja-Raja Melayu, Umno mengubah sistem kerajaan daripada Raja berkuasa mutlak kepada sistem Raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

Umno yang memberi ruang dan peluang kepada semua kaum bukan Melayu untuk menikmati kehidupan yang adil dan saksama di negara yang disebut oleh British sebagai Federation of Malay States atau Persekutuan Tanah Melayu.

Umno jugalah yang menyatupadukan semua kaum di negara ini dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Umno jugalah yang mempelawa kaum Cina dan India menerusi Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Kongres India Malaysia (MIC) untuk sama-sama menyertai pilihan raya.

Umno bersetuju memberi keistimewaan kaum bukan Melayu sehingga layak menjadi menteri, ketua menteri dan ketua jabatan kerajaan.

Umno membentuk sistem ekonomi dan pembangunan negara secara terancang dengan pelan yang dikenali sebarang Rancangan Malaysia dan membangunkan kawasan luar bandar dengan mewujudkan Felda, Felcra, MARA dan PNB.

Namun hari ini terdapat segelintir generasi muda sedang membangkit sikap membenci Umno dan tidak mengenang jasa Umno.

Bertambah menyedihkan ialah bukan setakat orang bukan Melayu memperlekehkan Umno malah orang Melayu sendiri mencerca Umno yang begitu banyak berjasa kepada mereka.

Salah pemimpin

Umno tidak bersalah. Jika berlaku kepincangan dalam pentadbiran negara, ia adalah atas kesalahan pemimpin atau individu tertentu. Pemimpin datang dan pergi tetapi Umno harus teguh berdiri.

Janganlah kerana marahkan nyamuk maka kelambu dibakar. Begitulah kerana kesalahan pemimpin tertentu, tidak sewajarnya Umno pula dihukum, dicerca dan dihina seolah-olah tidak lagi relevan.

Janganlah kerana tidak berpuashati dengan pemimpin tertentu, orang Melayu terus berpecah dan menubuhkan parti baharu untuk “membunuh” Umno pada pilihan raya umum.

Sejarah membuktikan perpecahan dalam kalangan orang Melayu tidak pernah menguntungkan Melayu sendiri malah musuh Umno hanya bertepuk tangan melihat perpecahan itu.

Sangat mendukacitakan apabila ada pihak menawarkan kedudukan dan jawatan dalam kerajaan kepada pemimpin Umno jika mereka sanggup keluar dari Umno.

Apakah makna semua ini? Tepuk dada tanyalah iman.

Hentikan pertelagahan

Sebagai orang yang berpengalaman dalam krisis kepimpinan Umno 1987, saya ingin menasihatkan semua pemimpin Umno sekarang agar henti bertelagah sesama sendiri.

Percayalah, kita sendiri sedang mengelapkan masa depan anak bangsa. Jika terdapat perselisihan faham dan tidak berpuashati sesama sendiri, Umno mempunyai Majlis Jemaah Penasihat Umno.

Rujuklah kepada saluran yang dibentuk oleh Umno itu bagi mencari penyelesaian terbaik dan bukannya saling memburukan pemimpin sesama sendiri dalam media massa dan media sosial.

Janganlah kita menjadi seperti mata lalat iaitu hanya melihat dan mencari kekotoran serta kebusukan, sebaliknya jadilah seperti mata lebah yang melihat dan mencari bunga yang cantik serta harum saja kemudian mengeluarkan madu pula untuk manfaat manusia.

Kita semua harus terima hakikat sejak PRU12 lagi, rakyat memberi isyarat awal kepada Umno parti itu akan kehilangan kuasa jika sikap pemimpinnya tidak berubah.

Umno cuba mencari pelbagai formula untuk memperbaiki kelemahan dengan “meremaja Umno” kemudiannya “Umno perlu berubah jika tidak mahu diubah”.

Tetapi Umno mulai hilang pengaruh dan kalah di beberapa buah negeri kerana pemimpin Umno masih tidak sedar dengan isyarat yang diberikan.

Malangnya masih terdapat pemimpin yang mengkhianati amanah dan akhirnya rakyat menyingkirkan Umno dari tampuk pemerintahan diperingkat kerajaan pusat pada Pilihan Raya Umum ke-14 tiga tahun lepas.

Saya melihat selama 22 bulan Umno menjadi pembangkang, rakyat mula menilai semula kesilapan mereka menyingkir Umno.

Kebanyakan rakyat mula sedar pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak secekap Barisan Nasional untuk mentadbir negara dan gagal menunaikan janji untuk membela rakyat seperti yang tercatat dalam manifestoreka pilihan raya.

Tetapi perkara berbeza apabila Umno berkongsi kuasa menjadi kerajaan pusat dalam satu gabungan baharu bersama parti serpihan Umno sendiri iaitu Parti Pribumi Bersatu dan PAS.

Gabungan yang dikenali sebagai Perikatan Nasional (PN) mula dikritik oleh rakyat kerana kelemahan-kelemahan kerajaan dalam menangani masalah negara dan akibatnya graf sokongan Umno kini mulai menurun pula kerana terpalit dengan kelemahan PN.

Umno tidak dominan dalam kerajaan sekarang dan buat pertama kali dalam sejarah Umno apabila presiden dan timbalan presidennya tidak mempunyai jawatan dalam kerajaan.

Ingatlah amanat Almarhum Tunku Abdul Rahman mengenai orang yang cuba mengambil alih kuasa politik Umno:“Jaga-jagalah mereka kerana mereka cuba menjaja lampu baharu untuk mendapatkan lampu lama yang ajaib itu”.

Muhasabah

Untuk pemimpin Umno, saya mohon tolonglah muhasabah diri, jika kita tidak lagi mendapat sokongan dan gagal membawa bahtera perjuangan, berundur secara terhormat dan jangan biarkan bahtera terus hanyut.

Sayangilah Umno lebih dari sayangkan jawatan anda kerana jika bahtera Umno karam, anak bangsa sendiri yang lemas.

Jika Umno terpaksa berundur dari menyertai kerajaan PN, maka berundur lah demi nama baik parti dan bersiap sedia untuk mengambil semula mandat rakyat bagi menubuhkan kerajaan pimpinan Barisan Nasional pada PRU15 ini.

Pemimpin Umno harus berjiwa besar dan jadilah orang budiman . Jika diri kita dikaitkan dengan sebarang masalah berkaitan undang-undang, segera berundur dan beri laluan kepada penganti.

Teladanilah sikap almarhum Tunku Abdul Rahman yang tidak pernah mengambil sesen pun wang kerajaan untuk kepentingan dirinya.

Almarhum Tunku sendiri menceritakan kepada saya beliau pernah ditawarkan komisen secara sah sebanyak 10% oleh sebuah syarikat jentera di Eropah kerana kerajaan membuat pembelian yang bernilai jutaan ringgit.

Tunku menolak habuan komisen ratusan ribu ringgit itu sebaliknya meminta syarikat berkenaan menurunkan harga pembelian 10% sebagai ganti komisen yang dimaksudkan.

Begitu juga  Tunku Abdul Rahman berundur memberi laluan kepada Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn pula berundur memberi laluan kepada Tun Dr Mahathir.

Saya juga merayu kepada bekas pemimpin Umno yang kini berada dalam parti serpihan Umno, kembalilah semula ke pangkuan Umno.

Biduk berlalu, kiambang bertaut, begitulah seharusnya kita berbaik semula dan sudah-sudahlah menyimpan dendam kemarahan. Kembalilah bersama-sama demi memertabatkan lagi agama, bangsa dan negara.

Ingatlah janji dan ikrar semasa berada dalam Umno. Jika Umno yang tidak memberi ruang dan peluang untuk kita jadi pemimpin, tidak mungkin kita dikenali dan mendapat kedudukan seperti sekarang.

Seperti pepatah kejayaan adalah apabila kita mampu bangkit dari kejatuhan maka sempena sambutan ulang tahun Jubli Intan Umno tahun ini, jadikanlah tarikh keramat 11 Meim 2021 sebagai Hari Kebangkitan Semula Umno.

Akhir sekali marilah kita merenungi firman Allah SWT dalam surah Az-Zumar ayat 53: Katakanlah, “Wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sungguh, Dialah Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang.” – 10 Mei, 2021.

* Yussof Latiff ialah Tokoh Melayu Terbilang Umno 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen