Umno, BN mesti jadi parti induk, kata Najib


Mohd Farhan Darwis

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata kemelut politik negara akan selesai jika Umno dan BN sekali lagi dipilih rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mei, 2021.

KEMELUT politik negara boleh selesai dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) sekali lagi dipilih oleh rakyat menjadi induk politiknya, kata bekas perdana menteri Najib Razak.

Najib berkata amalan demokrasi di Malaysia memerlukan sebuah parti teras yang akan membolehkan kerajaan stabil.

“BN dan Umno adalah induk. Saya tak suka istilah dominan kerana ia seolah-olah buli orang lain.

“Kita kalau lihat senario politik tidak ada mana-mana parti boleh jadi induk melainkan Umno dan BN kembali semula dengan kekuatan baru.

“Rakyat sudah sedar inilah punca keperitan (semasa pentadbiran Pakatan Harapan dan sekarang di bawah Perikatan Nasional)... kita tidak ada kestabilan politik kerana tiada keindukan dalam politik kita,” katanya dalam wawancara bersama Umno Online malam tadi.

Wawancara itu bersempena sambutan ulang tahun Umno ke-75 esok.

Jelas Najib, adanya parti induk akan menjadikan kerajaan stabil, yang seterusnya akan memulihkan masalah ekonomi Malaysia selain pimpinannya mampu fokus dalam pentadbiran negara serta kurang berpolitik.

“Dalam sistem demokrasi berparlimen, mahu tak mahu kita perlu satu parti jadi induk atau teras, dalam sistem politik kalau tiada parti teras kerajaan jadi tak stabil.

“Ini yang kita lihat, percubaan memujuk, membeli ahli Parlimen, ini semua angkara ketidakstabilan parti tiada induk,” tambahnya.

Najib juga berharap rakyat akan memberikan mandat meyakinkan kepada Umno dan BN apabila mereka memilih kerajaan sekali lagi nanti kerana undi yang berpecah memungkinkan kemelut politik dalam negara berterusan.

“Lambat laun penyelesaian adalah adakan pilihan raya umum bila sampai masanya, mudah-mudahan rakyat beri mandat meyakinkan. Kalau undi berpecah tiada induk tiada penyelesaian.

“Rakyat mesti bersama, bukan saja nak pilihan raya umum tapi pilihan raya nak tentukan kerajaan stabil kena bagi parti jadi induk, kalau undi berpecah ceritanya akan berulang balik,” kata Najib.

Ahli Parlimen Pekan itu yakin Umno dan BN mampu memulihkan kembali negara ini ke landasan yang tepat berdasarkan rekod pentadbiran mereka sebelum ini.

“Kita mesti pilih orang yang ada kebolehan, salah satu kelemahan kerajaan yang sehari dua ini termasuk Pakatan Harapan, mereka memilih berdasarkan politik bukan berdasarkan kebolehan.

“Kerana macam mana pun akhirnya jadi menteri mesti ada kebolehan, perdana menteri seorang tak boleh tadbir negara, Kabinet kena berwibawa baru kerajaan akan berjaya,” katanya. – 10 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen