SEJAK pandemik Covid-19 melanda dunia, ada dua penyebab kematian – kematian akibat virus Covid-19, dan keduanya adalah kelaparan.
Kita dapat melihat ramai kehilangan pekerjaan akibat penutupan industri, dan ada antaranya sehingga hari ini belum mendapat pekerjaan dan hanya bergantung kepada bantuan sosial yang diberikan kerajaan.
Saya berpandangan isu pekerjaan merupakan isu paling penting untuk diselesaikan oleh kerajaan (selain daripada isu kesihatan) ketika ini.
Mereka mengeluarkan beberapa janji, antaranya janji 500,000 pekerjaan baharu melalui Skim JanaKerja yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2021.
Baru-baru ini, Pemuda Perikatan Nasional (PN) pula melancarkan Akar Umbi Pemacu Negara (AkuPN) yang katanya akan menyediakan platform untuk membantu anak muda mendapatkan pekerjaan.
Sebagai orang awam, saya dan beberapa rakan telah melaksanakan sebuah inisiatif untuk membantu orang yang kehilangan pekerjaan mendapat tawaran pekerjaan. Kami namakan inisiatif ini sebagai BeriKerja.
Setakat ini kami bekerjasama dengan beberapa penerbit digital pekerjaan – antaranya Mingguan Kerja yang memiliki lebih dari sejuta paparan setiap bulan.
Kami juga berbincang dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk membantu kami melakukan padanan pekerjaan dengan pekerjaan-pekerjaan yang ada di platform MyFutureJobs mereka.
Setakat ini kami boleh katakan mereka amat membantu – cuma terdapat banyak kekangan yang mereka hadapi ketika membantu kami, termasuklah limitasi teknologi dan tenaga kerja.
Setiap bulan BeriKerja akan menerima sekitar 40,000-60,000 pengunjung dan telah menerima lebih 2,000 CVs untuk dipadankan dengan pekerjaan kosong.
Semua ini dilakukan dengan sumber yang terhad tetapi menggunakan kaedah pemasaran yang agresif.
Semalam saya membaca Pemuda PN ingin melakukan inisiatif yang lebih kurang sama – secara asasnya “workflow” yang disebutkan memang sama – iaitu menerima CV untuk diberikan kepada Perkeso, supaya ia boleh dipadankan dalam sistem MyFutureJobs mereka. Sesuatu yang kami lakukan sejak enam bulan lepas.
Saya tiada masalah dengan hal ini, ia sesuatu yang baik apabila ramai pihak ingin membantu rakyat mendapatkan semula pekerjaan. Cuma, peranan Pemuda PN seharusnya lebih besar berbanding mencipta platform peluang pekerjaan seperti ini.
Sudahlah nama inisiatif itu “AkuPN”, sesuatu yang berbunyi terlalu partisan dan politik, mereka pula mengumumkannya dengan penuh rasa bangga.
Kita bukan kekurangan platform mencari kerja, kita ada masalah kekurangan pekerjaan dengan gaji wajar, dan masalah mismatch yang berlaku di industri.
Pemuda PN yang merupakan sebahagian daripada kerajaan sepatutnya mendesak kerajaan untuk memperkenalkan polisi yang mampu menarik pelabur dan pemain industri untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan di Malaysia.
Isu pekerjaan adalah isu periuk nasi rakyat
Hanya Pak Pandir sahaja yang tidak akan merasakan inisiatif “AkuPN” tidak berbunyi propaganda atau partisan.
Sebelum ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan sebanyak 150,597 pencari kerja berjaya mendapat pekerjaan melalui 12 program yang dilaksanakan kerajaan.
Secara jujur, saya skeptikal dengan angka-angka yang diberikan oleh kerajaan.
Memandangkan Parlimen sedang ditutup, sukar untuk kita mendapatkan bukti-bukti terhadap dakwaan kerajaan ini.
Mungkin sudah masanya kita mengadakan satu sistem “ketelusan” untuk menyemak perkara ini – contohnya, menyediakan platform untuk para majikan atau pekerja membuat perakuan penerimaan pekerjaan.
Kami di BeriKerja sering menerima maklum balas pencari kerja tentang kesukaran yang mereka hadapi untuk mendapatkan temuduga – termasuklah permohonan di MyFutureJobs.
Amat sukar untuk mempercayai ramai mendapat pekerjaan baharu – lebih-lebih lagi dengan berita kemerosotan pelaburan asing langsung (FDI) dan beberapa syarikat besar di Malaysia menutup operasi mereka.
Melainkan kita mengiktiraf kerja-kerja ekonomi gig sebagai “pekerjaan”, amat sukar untuk mempercayai kewujudan pekerjaan baharu yang banyak.
Isu pekerjaan adalah isu periuk nasi rakyat, saya harap ahli politik tidak menggunakan isu ini dengan cara yang salah untuk mendapatkan perhatian rakyat.
Jika benar mahu mendapatkan sokongan rakyat, buat sahaja kerja dengan ikhlas dan maklumkan realiti sebenar yang sedang berlaku di Malaysia. Jangan berikan rakyat harapan palsu ketika waktu yang mencabar seperti ini. – 10 Mei, 2021.
* Rahman Imuda, koordinator BeriKerja, sebuah platform percuma untuk mempromosikan peluang pekerjaan.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen