Ain kecewa dapat amaran buang sekolah


Remaja yang mendedahkan kes ancaman rogol oleh guru sewaktu pembelajaran, Ain Husniza Saiful Nizam kecewa kerana menerima notis untuk dibuang sekolah. – Gambar Twitter, 9 Mei, 2021.

REMAJA yang mendedahkan kes jenaka rogol oleh guru sewaktu pembelajaran, Ain Husniza Saiful Nizam kecewa kerana menerima amaran untuk dibuang dari sekolah.

Katanya, tindakan itu tidak sepatutnya dikenakan ke atasnya sedangkan guru dan juga pelajar yang membuat ancaman rogol itu tidak dikenakan tindakan.

“Guru lelaki itu sendiri dan remaja lelaki yang membuat ancaman rogol tidak pun dikenakan apa-apa tindakan… Tapi saya akan kena buang sekolah,” katanya di Twitter.

Katanya surat itu diterima selepas bapanya bertemu dengan pengetua sekolah selepas beliau mendedahkan kes ancaman rogol oleh seorang guru lelaki.

Ain berkata beliau kecewa kerana pengetua tersebut mengeluarkan amaran tersebut walau menyatakan jaminan untuk menyokong beliau dalam pertemuan itu.

“Pada hari surat (amaran) dihantar, merupakan hari bapa saya bertemu pengetua dan (pengetua wanita) berkata beliau menyokong saya, tapi pada hari sama beliau buat begini,” kata Ain.

Ain menggerakkan kempen #MakeSchoolASaferPlace untuk menjaga keselamatan pelajar dari gangguan seksual di sekolah selepas kes amaran rogol itu berlaku.

Remaja 17 tahun itu pada mulanya mendedahkan perbuatan guru pendidikan jasmani yang berjenaka mengenai rogol.

Guru itu didakwa menyebut, rogol hanya boleh dijalankan ke atas wanita yang berusia lebih 18 tahun.

Ain juga mendedahkan beliau menerima ancaman rogol dari pelajar lelaki sekolahnya selepas mendedahkan perkara itu.

Pendedahan itu meraih perhatian pelbagai pihak termasuk aktivis pendidikan dan ahli Parlimen yang menggesa sistem pendidikan diubah untuk melindungi pelajar dari kes sebegitu.

Mengulas lanjut amaran dikeluarkan pihak sekolah, Ain berkata beliau amat kecewa dan mempersoalkan jika nilai yang diajar kepadanya hanya satu pembohongan.

“Saya dapat surat amaran bahawa saya akan dibuang kerana membangkitkan perkara benar.

“Guru itu sendiri dan pelajar lelaki yang buat ancaman rogol tidak dikenakan apa-apa tindakan, tapi saya akan dibuang sekolah. Ini akan merosakkan hidup saya,” katanya. – 9 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen