Serangan Israel jenayah kemanusiaan


ANGKATAN Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam sekeras-kerasnya kekejaman terkini yang dilakukan Israel di Masjidil Aqsa.

ABIM merujuk kepada laporan pencerobohan oleh rejim Zionis yang mengakibatkan kecederaan kepada 200 umat Islam Palestin yang sedang beriktikaf di masjid tersebut.

ABIM menegaskan tindakan ini sebagai perbuatan biadab kerana ia dilakukan ke atas umat Islam sedang beribadah sempena dengan bulan Ramadan yang mulia ini, yang terang-terangan tidak menghadirkan sebarang ancaman keselamatan.

Justeru kekejaman ini merupakan jenayah terhadap kemanusiaan kerana membabitkan masyarakat awam termasuk wanita serta kanak-kanak sepertimana dilaporkan media antarabangsa.

Atas nama kebenaran dan keadilan, ABIM menggesa masyarakat antarabangsa untuk membuka mata serta menyatakan solidariti mereka bersama rakyat Palestin yang secara berterusan menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis yang melangkaui norma kemanusiaan sejagat.

ABIM juga menuntut pemimpin dunia khususnya dalam kalangan negara Islam termasuk Malaysia membuktikan solidariti dengan mengenakan tekanan politik sehingga kekejaman seperti ini dihentikan sama sekali. – 9 Mei, 2021.


* Muhammad Faisal Abdul Aziz presiden ABIM.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen