Malaysia wajib kutuk serangan pada jemaah Masjid Al-Aqsa


BIRO Hal Ehwal Shariah, Amanah Wilayah Persekutuan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel menyerang umat Islam sedang beribadah dalam 10 malam terakhir bulan Ramadan di Masjid Al-Aqsa Palestin.

Umat Islam berlumba-lumba mengejar malam lailatul qadar dengan banyak beribadah dan memohon doa kepada Allah SWT.

Melakukan segala amalan baik termasuk solat, membaca Al-Quran, berdoa, berzikir, sedeqah dan sebagainya.

Malahan Masjid Al-Aqsa adalah kiblat pertama umat Islam sebelum ditukar kepada Kaabah di Mekah Al-Mukaramah. 

Masjid Al Aqsa merupakan salah satu tempat penting yang menjadi saksi perjalanan Isra Miraj yang dilakukan oleh Nabi Muhammad.

Masjid inilah yang menjadi tempat persinggahan Nabi Muhammad setelah melakukan perjalanan jauh dari Masjidil Haram yang berada di Mekah.

Peristiwa ini juga terkandung dalam Al-Quran Surah Al Isra’ ayat 1.

“Maha suci Allah yang telah memperjalankan hamba Nya pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Masjidil Aqsha yang telah kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Lebih dari 170 orang Palestin cedera setelah polis Israel menyerbu Masjid Al-Aqsa, dengan menembak serta menghalau jamaah keluar ke tempat lain di Baitulmaqdis Timur yang dijajah oleh Israel.

Ia berlaku ketika ketegangan dan bantahan penduduk selama beberapa minggu antara Israel dan Palestin di Baitulmaqdis terus meningkat.

Pada hari jumaat lepas, puluhan ribu jemaah Palestin berkumpul di Masjid Al-Aqsa pada hari Jumaat terakhir bulan Ramadan.

Ramai yang terus melakukan tunjuk perasaan secara aman untuk menyokong rakyat Palestin.

Mereka menghadapi pengusiran dari rumah mereka sendiri di tanah dijajah Israel yang dituntut oleh peneroka Yahudi.

Tindakan ini amat jahat dan hina sekali. Pihak kerajaan Malaysia sepatutnya mengutuk atas tindakan tidak berperikemanusiaan ini. – 9 Mei, 2021.

 

* Ahmad Asri Talib ketua Biro Hal Ehwal Shariah Amanah Wilayah Persekutuan.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen