Jangkitan kembali merebak ke pedalaman, kata menteri Sarawak


Desmond Davidson

Pergerakan pergi-balik antara kawasan bandar dan rumah panjang terutama di kawasan di tengah Sarawak disebabkan pergerakan orang ramai, kata Dr Sim Kui Hian, penasihat utama jawatankuasa pengurusan bencana negeri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mei, 2021.

KAWASAN jangkitan Covid-19 di Sarawak telah beralih dari bandar kembali ke pedalaman, kata Dr Sim Kui Hian, penasihat utama jawatankuasa pengurusan bencana negeri.

Dalam satu hantaran di Facebook, beliau berkata “pergerakan pergi-balik” antara kawasan bandar dan rumah panjang terutama di kawasan di tengah Sarawak disebabkan pergerakan orang ramai.

Dua daripada tiga kluster baharu dilaporkan jawatankuasa bencana semalam iaitu Kampung Hilir Beladin di bandar pesisir Pusa dan Penurin di Betong berada di kawasan luar bandar.

Hanya kluster Jalan Limbang di Miri sahaja di kawasan bandar.

46 orang di sebuah kampung di Beladin disahkan positif berpunca daripada jangkitan lelaki berusia 67 tahun semasa majlis agama.

Ketika ujian pertama menggunakan RTK Antigen pada 30 April, dia positif dan dirujuk ke hospital awam Sarawak (SGH) di Kuching, sejauh 295km, kerana Pusa tidak mempunyai kemudahan perubatan untuk merawat kes Covid-19.

Dalam ujian kedua di SGH pada 2 Mei menggunakan ujian RT-PCR, sekali lagi dia didapati positif.

Jumlah kes masih boleh meningkat memandangkan keputusan ujian 346 individu masih belum dikeluarkan.

Mereka yang dijangkiti telah dihantar ke Hospital Betong atau PKRC Betong, sejauh 60km, bagi mendapatkan rawatan dan diasingkan.

Di kluster Penurin, 22 penduduk rumah panjang dikesan dijangkiti dari seorang lelaki berusia 49 tahun yang diuji positif semasa ujian pra-pembedahan di sebuah hospital di Kuching.

Sim, yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak berkata beberapa rumah panjang telah dijangkiti lebih daripada satu kali.

Tambahnya sekitar 20% kes merupakan kanak-kanak bawah 12 tahun dan kebanyakannya tidak menunjukkan sebarang gejala jangkitan.

Terdapat enam kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan oleh jawatankuasa bencana semalam, menjadikan jumlah kematian negeri 201 orang.

Sim berkata jumlah itu boleh mencapai 300 jika 72 kematian, yang positif Covid-19 tetapi disahkan doktor dan Kementerian Kesihatan meninggal kerana sebab lain, turut diambil kira.

“(Ini sangat) mencabar buat semua orang di seluruh dunia berkaitan Covid-19 ini. Kita semua letih, penat, susah tak henti-henti, kecewa, mental dan emosi tertekan… namun tiada penyelesaian ajaib.”

Vaksin tidak akan mematikan Covid19, katanya, walaupun mereka yang diberi vaksin tidak akan mudah dijangkiti, akan mendapat “gejala yang kurang teruk, peluang mati sangat susah.”

Bagi mereka yang belum diberi vaksin, Sim ada beberapa berita baik.

Katanya lebih daripada satu juta dos vaksin dijangka sampai pada Jun dan satu juta lagi pada Julai. – 8 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen