Majoriti pelajar pilih pembelajaran hibrid, kata tinjauan


Raevathi Supramaniam

SEBANYAK 58% pelajar Malaysia memilih pembelajaran hibrid iaitu gabungan antara pembelajaran secara dalam talian dan bersemuka semasa pandemik Covid-19, kata tinjauan baru-baru ini.

Tinjauan “The Student Voice Matters 2021” dijalankan oleh pertubuhan bukan kerajaan Project ID dari 1 Mac hingga 28 April lalu, melibatkan 761 pelajar berusia 13 hingga 21 tahun di seluruh negara.

Dapatan tinjauan juga mendapati 35% lagi memilih kelas secara semuka, manakala 7% mahu pembelajaran dalam talian sepenuhnya.

Project ID dalam laporannya berkata pelajar lebih menyukai kaedah pembelajaran gabungan kerana mereka boleh mengikuti pembelajaran dengan selesa dan pada masay yang sama masih boleh berinteraksi dengan guru dan rakan sekelas.

“Pelajar yang memilih kelas dalam talian sepenuhnya juga menyatakan mereka lebih selesa mengikuti kelas secara maya.”

Project ID diasaskan dengan tujuan untuk memperkasa dan membina keyakina diri pelajar dari golongan kurang berkemampuan.

Tinjauan itu mendapati majoriti responden berpendapat sesi pembelajaran dalam talian yang diperkenalkan lebih setahun lalu memberi pengalaman baharu yang menyeronokkan.

Tiga alasan utama mengapa sesi pembelaran dalam talian lebih digemari kerana akses lebih cepat untuk mendapatkan sumber semasa kelas (532), jadual dan persekitaran yang lebih fleksibel (366) dan pengalaman menyeronokkan (291).

Pelajar Tingkatan 5 lebih tertekan

Bagaimanapun, pelajar Tingkatan 5 melalui pengalaman berbeza, dengan memberi purata 5.22 daripada 10 mata berbanding purata 6.75 mata dalam kalangan pelajar Tingkatan 1.

Perbezaan ini disebabkan oleh tekanan untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, kata laporan Project ID.

Kebanyakan berkata mereka lebih tertekan kerana tidak pasti bila SPM akan diadakan, ditambah pula dengan lambakan kerja rumah, katanya. – 8 Mei, 2021. 

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen