Pengusaha pelancongan rayu bantuan Putrajaya


Khoo Gek San

Selasa lalu, Putrajaya memutuskan kebenaran rentas negeri melalui Gelembung Pelancongan Bersasar antara kawasan PKPP digantung berkuat kuasa serta-merta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mei, 2021.

PENGUSAHA pelancongan tempatan memahami keputusan Putrajaya menggantung gelembung pelancongan bersasar domestik, namun merayu bantuan untuk terus bertahan, kata persatuan.

Presiden Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA) Uzaidi Udanis berkata pengusaha antara lain meminta kerajaan mengecualikan beberapa syarat untuk memperbaharui permit perniagaan pelancongan, supaya bersesuaian dengan kesulitan yang mereka hadapi ketika ini.

Katanya, kebanyakan agensi pelancongan tidak lagi menyewa pejabat sebaliknya beroperasi dalam talian bagi menjimatkan kos.

“Semasa pandemik, tiada pelanggan datang ke pejabat agensi pelancongan untuk bertanyakan maklumat pakej.

“Jadi, kami memohon kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk mengecualikan syarat perlu memiliki pejabat untuk agensi perbaharui lesen.

“Tetapi kementerian tetap bertegas mahu kekalkan syarat tersebut,” kata Uzaidi kepada The Malaysian Insight.

Tambahnya, peraturan itu tidak membantu agensi terus bertahan semasa pandemik Covid-19, lebih-lebih lagi di Kuala Lumpur kerana mereka perlu membayar sewa pejabat sekurang-kurangnya RM5,000 sebulan atau RM60,000 setahun.

“Bagaimana hendak bayar sewa pejabat kalau tiada pendapatan semasa pandemik?”

Uzaidi berkata walaupun menyambut baik program Gelembung Pelancongan Bersasar dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) namun industri sebenarnya masih bergelut.

Program itu, katanya, mendapat sambutan menggalakkan ketika mula diperkenalkan November lalu. Pelancong tempatan banyak menempah pakej melibatkan aktiviti mendaki dan percutian di pulau.

Pengusaha pelancongan sambung baik program Gelembung Pelancongan Bersasar dari kawasan PKPP, tetapi industri itu sebenarnya masih bergelut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mei, 2021.

Begitu juga eko-pelancongan serta lawatan ke kampung nelayan dan zoo, eko-pelancongan, tetapi permintaan mula merosot sejak kes Covid-19 melonjak awal tahun ini, jelas Uzaidi.

Selasa lalu, Putrajaya memutuskan kebenaran rentas negeri antara kawasan PKPP bagi tujuan pelancongan digantung berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob berkata penggantungan dibuat berikutan peningkatan kes Covid-19 sejak kebelakangan ini.

Ismail mengumumkan keputusan itu pada sidang media sama pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam daerah di Selangor bermula 6 hingga 17 Mei.

Perintah sama dikenakan di Kuala Lumpur, beberapa daerah di Johor dan Perak serta di Besut, Terengganu mulai 7 hingga 20 Mei.

Uzaidi berkata situasi pandemik ketika ini membuatkan beliau tidak yakin industri pelancongan domestik akan pulih sepenuhnya dalam tempoh dua hingga tahun lagi.

Kerajaan katanya, perlu mempelbagaikan cara untuk membantu industri terus bertahan, misalnya menyewa bas pelancongan untuk membawa pelajar institusi pengajian tinggi pulang menyambut Hari Raya.

“Kami boleh bantu kerajaan hantar pelajar pulang ke negeri yang tidak dikenakan PKP.

“Kami sudah kemuka cadangan kepada kerajaan dan kami harap ia diterima,” kata Uzaidi. – 9 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen