Latih guru ajar pendidikan seks, gesa pakar


Angie Tan

Pendidikan seks memerlukan guru menyampai dan membincangkannya dengan cara yang betul kepada murid, kata pakar pendidikan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mei, 2021.

GURU memerlukan latihan dalam pendidikan seks supaya mereka dapat mendidik pelajar dengan sewajarnya, kata pakar pendidikan, susulan kegelisahan umum berkenaan berita seorang guru membuat jenaka rogol.

Kebanyakan guru malu apabila membincangkan mengenai pendidikan seksual dengan pelajar atau mereka tidak tahu cara yang betul untuk menyampaikannya, tambah mereka.

Presiden Persatuan Pengajian Ilmiah Seksualiti Kuala Lumpur dan Selangor Ngoh Chee Meng berkata sekolah rendah Cina sudah memberi perhatian terhadap topik berkenaan dan belajar membincangkan aspek biologi serta aspek pembiakan seks.

“Pendidikan seks tidak hanya membicarakan organ pembiakan, cinta dan pencegahan kehamilan.

“Ia juga mesti merangkumi perlunya menghormati perbezaan jantina dan apa interaksi sihat antara rakan serta antara ibu bapa dan anak-anak,” katanya.

Katanya buku teks sekolah rendah Cina merangkumi pandangan holistik mengenai pendidikan seks dan subjeknya termasuk dalam kurikulum pembelajaran.

“Buku teks sudah mencatat perkara ini dengan baik dan saya rasa keseluruhan struktur pengajaran kurikulumnya bagus,” katanya.

Walaupun bahan dan pemahaman tentang pendidikan seks bertambah baik berbanding dahulu, namun pada akhirnya subjek itu memerlukan guru menyampai dan membincangkannya dengan cara yang betul kepada murid, kata Ngoh.

“Guru mesti mempunyai latihan, jika tidak mereka akan menggunakan latar belakang mereka sendiri untuk mengajar pelajar.

“Sebagai contoh, sikap guru (dipengaruhi oleh mereka sendiri) terhadap seks dan jika tidak mereka akhirnya berkomunikasi secara tidak senonoh atau membuat jenaka yang tidak sesuai,” katanya.

Ngoh menambah malang sekali apabila ibu bapa berharap anak-anak mereka belajar tentang pendidikan seks di sekolah sedangkan mereka sendiri perlu berusaha menjelaskan topik berkenaan kepada anak-anak mereka.

“Sebilangan besar guru hanya memperkenalkan subjek secara ringkas kepada pelajar. Akhirnya anak-anak dibiar belajar sendiri,” katanya yang merupakan seorang kaunselor.

Pendedahan yang dibuat baru-baru ini oleh seorang remaja Ain Husniza Saiful Nizam mengenai guru pendidikan jasmaninya yang membuka jenaka rogol di kelas dan keterangan di media sosial oleh perempuan mengenai pemeriksaan haid di sekolah menunjukkan bagaimana persepsi guru terhadap seks serta seksualiti mempengaruhi hasil interaksi mereka dengan pelajar, kata Ngoh.

“Bagaimana seorang guru mengajar pendidikan seks menentukan kejayaan atau kegagalan kelas.

“Sekiranya anda tidak menghormati wanita, bagaimana pelajar anda mahu menghormati wanita?,” katanya.

Sebagai contoh, selepas Ain Husniza mendedahkan apa yang dikatakan oleh gurunya di TikTok, dia menerima ancaman rogol daripada rakan sekelasnya.

Ain Husniza membuat dua laporan polis, satu terhadap guru dan satu lagi kerana jenaka rakan sekelasnya.

Kaunselor pendidikan seks, Ho Mun Yin berkata beberapa sekolah menyediakan kursus bimbingan dan menghantar guru mereka untuk menjalani latihan.

Ho berkata dia sudah memberikan lebih 400 ceramah di sekolah dan menyedari beberapa guru cenderung malu berkenaan subjek itu.

“Walaupun mereka tahu bagaimana mengajar, mereka masih berasa malu, terutama ketika berhadapan pelajar-pelajar nakal yang sengaja mengajukan soalan yang janggal.

“Kemudian guru akan mempermudah kandungan buku teks kerana mereka tidak tahu bagaimana untuk menjawabnya,” katanya.

Beliau berkata jika kedua-dua ibu bapa dan guru mengelak atau menolak rasa ingin tahu anak terhadap seksualiti, mereka akan melepaskan peluang untuk mendidik anak itu mengenai pandangan seks yang sihat.

“Akhirnya mereka akan mula mencari di internet. Namun, maklumat di internet tidak disertakan dengan panduan yang baik dan tidak dapat memastikan bahawa mereka akan menyerap idea yang betul,” katanya.

Ho juga berkata menonton pornografi tidak boleh diambil kira sebagai pendidikan seks.

Dia menceritakan kes seorang pelajar Tingkatan Satu yang meminta kaunseling, yang diperkenalkan dengan pornografi oleh seorang rakan bagi menjawab soalan mengenai seks.

“Akibatnya dia tidak dapat menumpukan perhatian pada apa pun. Dia tidak dapat mengeluarkan gambaran seksual dari fikirannya.

“Dia datang untuk meminta pertolongan bagi menghilangkan ketagihan pornografi,” katanya.

Sekolah tidak perlu menunggu sehingga guru bersedia tetapi boleh menjadi kaunselor professional untuk membantu mengajar pendidikan seks, kata pakar.

“Walaupun sekolah dan guru merasa tidak bersedia, sekurang-kurangnya aturkan golongan professional memberikan ceramah di sekolah,” kata Ngoh. – 8 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen