Pakar bimbang Putrajaya gagal capai sasaran imuniti kelompok


Raevathi Supramaniam Ragananthini Vethasalam

Putrajaya mensasarkan 80% penduduk menerima suntikan vaksin pada Februari 2022. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mei, 2021.

KELEWATAN Fasa 3 program vaksinasi kebangsaan boleh menjejaskan sasaran Malaysia mencapai imuniti kelompok melawan Covid-19 menjelang suku pertama tahun depan, kata pakar kesihatan.

Putrajaya mensasarkan 80% penduduk menerima suntikan vaksin pada Februari 2022.

Bagi mencapai imuniti kelompok, sekurang-kurangnya 60-70% daripada penduduk, atau kira-kira 20 hingga 23 juta orang, perlu divaksinasi. Paling awal untuk mencapainya adalah menjelang akhir tahun ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata pada Rabu Fasa 3 sepatutnya dimulakan bulan ini, tetapi tidak dapat dimulakan seperti dirancang kerana bekalan terhad.

Fasa 3 adalah untuk mereka berumur 18 tahun ke atas, melibatkan 13.7 juta orang yang tidak berisiko tinggi atau kategori barisan hadapan, yang telah menerima vaksin dalam fasa sebelum.

Khairy menyifatkan kekurangan bekalan untuk diedarkan, dengan berkata syarikat farmaseutikal memberi keutamaan kepada negara-negara kaya.

Bekas timbalan menteri kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata hampir mustahil mencapai imuniti kelompok dalam tempoh masa disasarkan jika bekalan vaksin tidak tiba tepat pada masanya, atau tidak mencukupi.

“Jika penghantaran vaksin ditangguhkan, ia akan beri kesan negatif kepada usaha kita untuk mengawal pandemik.

“Vaksinasi membantu dan liputan vaksinasi minimum adalah 80% daripada penduduk jika kita mahukan imuniti kelompok. Walaupun pada 80% vaksinasi, tidak ada jaminan imuniti kelompok dapat dicapai. Kita perlukan lebih banyak data mengenai imuniti kelompok,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sangat genting langkah-langkah kesihatan awam diadakan secara berterusan, tanpa mengira program vaksinasi, bagi mengekang pandemik, katanya.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) Dr Zainal Ariffin Omar berkata kelewatan Fasa 3 akan melambatkan pencapaian liputan dan perlindungan optimum kepada penduduk.

Beliau menyarankan kerajaan melihat sumber bekalan vaksin baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen Untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib berkata, masih tidak menentu sama ada Malaysia akan mencapai liputan minimum 60% diperlukan berdasarkan keadaan semasa.

“Berdasarkan apa kita lihat masa ini, kita ragu Malaysia akan dapat mencapai sekurang-kurangnya 60% imuniti kelompok pada Mac tahun depan,” katanya.

Beliau berkata, bagi mencapai matlamat, Malaysia perlu ada bekalan vaksin mantap dan orang berdaftar yang cukup.

“Berapa jauh kita berada dalam usaha vaksinasi ini ditentukan oleh bekalan vaksin.

“Masalah utama dihadapi kebanyakan negara pada masa ini adalah kebolehpercayaan, kebolehramalan dan ketekalan bekalan vaksin.

“Ini telah dipesan tetapi tidak semestinya diterima. Kadar usaha vaksinasi ditentukan oleh ketersediaan bekalan,” katanya.

Walau bagaimanapun, Azrul berkata bukan semua berita buruk kerana kerajaan baharu sahaja meluluskan penggunaan kecemasan vaksin Sinovac dihasilkan sebagai sebahagian daripada usaha sama dengan Pharmaniaga, dan beberapa ratus ribu dos vaksin AstraZeneca juga didapatkan oleh rakyat Malaysia dalam masa beberapa jam sahaja.

Ahli virologi Dr Chee Hui Yee dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan di Universiti Putra Malaysia berkata 60% kepada 70% imuniti kelompok dapat dicapai jika kadar jangkitan (R0) dikawal.

Beliau juga optimis jika langkah penjagaan kesihatan awam yang betul dan prosedur operasi standard (SOP) dijaga, negara akan dapat menurunkan kadar jangkitan, atau R0, sekali gus mengurangkan jumlah jangkitan komuniti.

“Jika kita dapat mengawal R0 melalui langkah-langkah kesihatan awam yang baik dan orang ramai patuh SOP, 60% hingga 70% imuniti kelompok sudah cukup sambil tunggu lebih banyak vaksin sampai.

“Asalkan kita dapat kurangkan R0, walaupun kita hanya mencapai 50% imuniti kelompok, sudah cukup baik.

“Apabila kita capai 50% hingga 60% imuniti kelompok, kita sekurang-kurangnya dapat mengurangkan banyak jangkitan komuniti,” katanya.

Tambah Dr Chee gelombang kedua jangkitan Covid-19 di India juga menjadikan bekalan vaksin kurang. Negara itu adalah salah satu pengeluar terbesar vaksin di dunia, tetapi ia telah dilumpuhkan oleh peningkatan jangkitan, kekurangan bahan mentah untuk menghasilkan vaksin dan tenaga kerja.

“Ini adalah satu cabaran buat pengeluaran vaksin, yang akan membawa kepada negara-negara kaya memborong vaksin. Ini adalah fakta.

“Mudah-mudahan dengan Malaysia juga terlibat dalam ujian vaksin dan ujian klinikal, lebih banyak syarikat farmaseutikal akan menghasilkan vaksin baharu dan dapat diluluskan untuk kegunaan kecemasan.

“Kemudian kita akan kurangkan kebergantungan pada beberapa vaksin yang kini tersedia.”

Pakar Epidemiologi Universiti Putra Malaysia Prof Dr Malina Osman optimis program vaksinasi akan berjalan mengikut jadual walaupun lewat.

Beliau menambah tidak seperti pertussis (batuk berulang), anti-tetanus, vaksin Hepatitis B, rubella dan tuberkulosis yang sentiasa tersedia, vaksin Covid-19 hanya akan tiba mengikut fasa.

Oleh itu, beliau berkata mereka yang telah mendaftar untuk vaksinasi harus menunaikan janji mereka dan hadir mengikut jadual.

Dr Lee, bekas timbalan menteri kesihatan, berkata berkaitan penerima vaksin dalam fasa ini dan seterusnya, mereka yang mempunyai penyakit kronik dan mereka yang pekerjaannya terdedah kepada ramai orang, seperti guru, wartawan dan pekerja makanan dan minuman, harus diberi keutamaan.

Dr Zainal juga bersetuju dengan Dr Lee bahawa selepas pasukan barisan hadapan, keutamaan harus diberikan kepada kumpulan yang terdedah, termasuk untuk vaksin AstraZeneca yang kerajaan telah menjadikannya sebagai vaksin kecemasan. – 8 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen