Menteri penerangan kata RTM tak patut bida siaran EPL


Mohd Farhan Darwis

Salleh Said berkata, daripada fokus kepada isu seperti itu, Pemuda PH seharusnya melihat kerangka yang lebih besar membantu anak muda terutamanya membabitkan soal masa hadapan dan ekonomi mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 Januari, 2018.

IDEA Pemuda Pakatan Harapan (PH) untuk menawarkan siaran perlawanan Liga Perdana Inggeris dan Sepanyol secara langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM) tidak praktikal kerana ia menelan perbelanjaan wang rakyat yang besar, kata Salleh Said Keruak.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, RTM yang dimiliki kerajaan beroperasi menggunakan wang rakyat dan tidak seharusnya membelanjakan jutaan ringgit semata-mata bagi mendapatkan hak penyiaran perlawanan bola sepak itu.

“Kosnya bukan murah, ratusan juta ringgit, mungkin berbilion ringgit. Wang itu boleh digunakan untuk tujuan lain,” kata Salleh kepada pemberita selepas perasmian Pra pelancaran Malaysia Cyber Games 2018 di lobi Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Putrajaya hari ini.

“(Hak penyiaran) makan dana yang agak besar. Stesen kerajaan milik rakyat. Apa dana kita guna kena lihat keutamaan. Tapi kita tak larang mana-mana stesen seperti Astro untuk tayang EPL ini.

Salleh Said berkata, daripada fokus kepada isu seperti itu, Pemuda PH seharusnya melihat kerangka yang lebih besar membantu anak muda terutamanya membabitkan soal masa hadapan dan ekonomi mereka.

“Tidak praktikal sama sekali, sepatutnya Pemuda PH lihat isu pokok bukan isu seperti itu,” katanya.

Beliau bagaimanapun percaya generasi muda tidak mudah dibeli dengan cadangan pembangkang berkenaan.

“Anak muda matang mereka tidak melihat satu isu untuk tentukan masa hadapan. 

“Mereka mahu kestabilan dan peluang pekerjaan, ekonomi dan masa depan dijaga,” kata Salleh Said lagi.

Ketua Pemuda PH, Nik Nazmi Nik Ahmad hujung minggu lalu berkata sebagai peminat tegar pasukan Liverpool, beliau mahu jutaan peminatnya di negara ini turut merasai kemeriahan liga sukan terulung dunia itu.

“Sebagai peminat pasukan Liverpool saya mahu semua orang menyaksikan kehebatan pasukan ini.

“Hak penyiaran liga sukan utama haruslah dibuka kepada semua. Takkan hanya nak tunggu Astro sahaja,” kata beliau dalam ucapan penutup Konvensyen Pemuda PH hujung minggu lalu.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin bagaimanapun membidas janji Pemuda PH itu dan mempersoalkan bagaimana mereka mahu menangani kos bidaan yang tinggi untuk hak penyiaran perlawanan itu.

“Mereka berjanji bahawa perlawanan bola sepak Liga Inggeris dan Sepanyol akan disiarkan secara langsung oleh RTM. Saya ada bertanya kepada rakan saya di stesen tv berapakah kosnya untuk menyiarkan perlawanan secara langsung, dan hak penyiaranan ini melalui proses bidaan… setiap tahun bidaan mencecah ratusan jutaringgit mungkin lebih daripada RM100 juta.

“Kalau diberikan kepada RTM, siapa yang akan bayar? Akhirnya menggunakan wang rakyat. Katakanlah nak bersiaran kena bayar RM200 juta, takkan nak belanja begitu sahaja?” katanya pada majlis pelancaran jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) Parlimen Jelebu.

Khairy yang juga ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) dan Umno berkata adalah lebih baik duit yang hendak digunakan untuk membuat siaran langsung perlawanan bola sepak itu digunakan untuk membina kompleks sukan di seluruh negara bagi manfaat rakyat keseluruhan. – 8 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen