Tiada tindakan terhadap guru dalam insiden jenaka rogol, kata pelajar 


Hailey Chung Wee Kye

Ain Husniza Saiful Nizam turut memulakan kempen #MakeSchoolASaferPlace dan menjemput semua pihak bersama menyokong apa yang diperjuangankannya.– Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mei, 2021.

TIADA tindakan yang diambil terhadap guru yang didakwa membuat jenaka rogol di sekolah, kata pelajar yang terkait dengan kontroversi itu, dan menambah guru terbabit masih mengajar di sebuah sekolah di Kuala Selangor.

Pelajar berusia 17 tahun itu, Ain Husniza Saiful Nizam, yang membuat laporan polis terhadap guru berkenaan berkata dirinya kini menerima pelbagai kecaman kerana dituduh sengaja memperbesarkan isu.

Ain membuat video menerusi TikTok dan berkongsikan apa yang berlaku pada sesi pembelajaran dalam kelas ketika membincangkan mengenai gangguan seksual. Video berkenaan menjadi tular di media sosial.

Muncul dalam rancangan temu bual bersama Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim di Facebook hari ini, beliau berkata orang ramai turut menuduhnya mempolitikkan isu berkenaan.

“Ini bukan tentang politik, ini mengenai kita semua, golongan dewasa bersama-sama membantu kami anak-anak yang merasakan sekolah tidak lagi selamat,” katanya.

“Ini adalah sekolah yang saya sayang dan yang mana gurunya mendidik dan menjaga saya.

“Namun bila isu ini timbul, saya tertanya-tanya di mana semua guru-guru ini?”

Bapanya, Saiful Nizam Abdul Wahab yang turut serta pada program berkenaan berkata guru lelaki terbabit masih mengajar di sekolah yang sama.

“Saya rasa beliau tidak patut ada di sana. Perlu ada siasatan,” katanya.

Sementara itu Anwar menggesa pihak berkuasa dan Kementerian Pendidikan menyiasat insiden.

“Proses ini perlu berlaku, panggil Ain, panggil guru Ain, panggil saksi, jangan ambil mudah kerana ini ada kesan psikologi.

“Apabila ada laporan dibuat, perlu ada siasatan segera, bukan menahan atau menakut-nakutkan (mangsa),” kata Anwar yang juga ahli Parlimen Port Dickson.

Menurutnya hanya apabila ada tindakan dan amaran keras diberikan, baru ada jaminan salah laku seperti itu tidak akan berulang.

Anwar turut menggesa pelajar lelaki di sekolah berkenaan untuk bersama dengan Ain dan menjadi “hero” daripada mengganggunya di Twitter.

Ain turut memulakan kempen  - #MakeSchoolASaferPlace - dan menjemput semua pihak bersama dengan perjuangannya.

Pelajar berkenaan menerima sokongan yang baik dalam kalangan masyarakat dan selebriti turut tampil berkongsikan pandangan mereka berhubung isu gangguan seksual.– 6 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen