PSM bimbang BN menang Sg Siput jika PH ikut bertanding


Kamles Kumar

AHLI Parlimen PSM Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar bimbang jika kerusi tersebut akan dimenangi Barisan Nasional (BN) andai Pakatan Harapan (PH) berkeras untuk turut bertanding di situ.

Dr Jeyakumar juga kesal kerana PSM tidak dibawa berunding padahal PH sepatutnya bersahabat dengan partinya.

“Kami tak diberi peluang untuk berunding mengenai kerusi dengan PH. Mereka sepatutnya bersahabat dengan kami tapi mereka tak mahu berbincang dengan kami.

“Kalau mereka (PH) mahu bertanding tiga penjuru, sangat mungkin untuk BN menang. Ia akan jadi pertandingan sengit buat kami. Ada kemungkinan besar untuk kalah,” kata Jeyakumar kepada The Malaysian Insight hari ini.

Beliau yang memegang jawatan ahli Parlimen Sungai Siput untuk dua penggal itu menambah PH malah memilih untuk mengenakan beberapa syarat terhadap PSM untuk bekerjasama dengan gabungan itu.

Dr Jeyakumar mendakwa, antara syarat yang dikenakan adalah PSM patut melepaskan semua kerusi lain yang mahu dipertandingkan selain menggunakan nama PH di Sungai Siput.

“Mereka nak tawarkan Sungai Siput kepada kami tapi dengan menggunakan bendera mereka. Kami juga diberitahu yang kami tidak dibenarkan bertanding di kerusi lain. Kami nak bertanding lebih kurang 15 kerusi,” katanya.

“Tidak. Kami tak akan bertanding bawah logo mereka. Kenapa kami patut diketepikan? Kami nak memperkenalkan politik cara kami di negara ini,” kata ahli Parlimen PSM Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 Januari, 2018.

Dr Jeyakumar bertegas PSM tidak akan mengikut tuntutan PH, dan parti itu akan bertanding dengan logo dan bendera sendiri.

“Tidak. Kami tak akan bertanding bawah logo mereka. Kenapa kami patut diketepikan? Kami nak memperkenalkan politik cara kami di negara ini,” katanya.

Bagaimanapun, PSM sentiasa membuka ruang untuk berunding dengan PH sebelum pilihan raya umum jika dapat mengelakkan persaingan tiga penjuru.

Pun begitu, PSM tidak akan termakan dengan tuntutan seperti disebut di atas dengan menyerahkan semua kerusi mereka selain bertanding di bawah bendera PH.

“Pintu kami terbuka untuk berunding. Dipersilakan untuk duduk dan bincang. Kami juga bersedia untuk bertolak ansur tapi sepatutnya bukan kami sahaja yang bertolak ansur,” katanya.

Hujung minggu lalu, PH mengumumkan, gabungan parti itu akan bertanding di 165 kerusi.

Bersatu akan bertanding di 52 kerusi, diikuti PKR dengan 51 kerusi, Amanah dengan 27 dan DAP dengan 35.

PKR telah mengumumkan untuk bertanding di Sungai Siput yang mana telah dipertahankan oleh PSM selama dua penggal.

Kerusi itu dimenangi Dr Jeyakumar menang dengan 2,700 majoriti undi dalam pilihan raya umum ke-13.

Sebelum PSM, kerusi itu merupakan kubu kuat MIC-BN yang disandang bekas Menteri Kerja Raya S. Samy Vellu. – 8 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • sikap keras kepala PH memang akan makan diri sendiri punya..kita tengoklah nanti..bnyk kwsn yg PH bertanding akan kalah..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan