PENGAMBILAN dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) untuk perolehan vaksin Covid-19 dan menaikkan had statutori hutang petanda bahawa Putrajaya kini bergelut dengan ruang fiskal yang terhad, kata pakar ekonomi.
“Sebenarnya kita menghadapi ruang fiskal yang terhad. Kerajaan telah menggunakan RUU Covid-19 (Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019) untuk menaikkan had statutori hutang sehingga 60% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) supaya kerajaan mempunyai ruang tambahan sekiranya memerlukan lebih banyak rangsangan fiskal,” kata Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi (SERC) Lee Heng Guie ketika memberi taklimat kepada media hari ini.
Tambah Lee, selain menaikkan had statutori hutang Putrajaya juga mungkin perlu menggunakan sumber lain, misalnya dana KWAN, bagi perolehan vaksin Covid-19.
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bulan lalu berkata kerajaan menggunakan RM5 bilion daripada KWAN yang berjumlah RM19.5 bilion untuk mempercepatkan perolehan vaksin.
Ogos tahun lalu Kementerian Kewangan kemuka usul untuk menaikkan had statutori hutang sehingga 60% daripada KDNK berbanding 55%.
“Ini menunjukkan bahawa ruang fiskal yang terhad dan kerajaan akan menggunakan apa sahaja sumber yang ada,” kata Lee. – 6 Mei, 2021.
Komen