Pendakwa serah semula kertas siasatan Neelofa, kata polis


Neelofa dan suaminya hadir ke Ibu Pejabat Polis Nilai pada Selasa memberi keterangan berhubung dakwaan mereka melanggar sekatan perjalanan dengan merentas negeri ke Nilai. – Gambar Instagram, 6 Mei, 2021.

POLIS menyerahkan kepada pejabat timbalan pendakwa raya kertas  siasatan ke atas selebriti Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya yang didakwa merentas negeri ke Nilai dan melanggar sekatan perintah kawalan pergerakan, kata Ketua Polis Negeri Sembilan Mohamad Mat Yusop.

Kertas siasatan itu bagaimanapun dikembalikan semula untuk dikemaskan, tambahnya.

“Siasatan sudah di peringkat akhir dan dirujuk kepada pendakwa raya, serta dikembalikan semula bagi memperkemaskan lagi siasatan.

“Kita menjangkakan dalam masa terdekat ini akan dimaklumkan, kalau ada keputusan nanti kita akan beritahu kepada pihak media,” katanya dipetik Sinar Harian di Seremban.

Neelofa dan suaminya Muhammad Haris Mohd Ismail hadir ke Ibu Pejabat Polis Nilai pada Selasa untuk memberi keterangan berhubung dakwaan mereka melanggar sekatan perjalanan dengan merentas negeri ke Nilai, seperti yang tular di media sosial.

Media melaporkan mereka diambil keterangan selama kira-kira empat jam.

Ketua Polis Nilai Mohd Fazley Ab Rahman dipetik berkata keterangan tersebut berkait dengan gambar dan video yang tular menunjukkan pasangan suami isteri itu berada di sebuah kedai karpet di Pusat Perniagaan Nilai 3, Nilai pada hujung minggu lalu.

Pasangan itu disiasat mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No.4) 2021.

Neelofa disiasat tiga minggu selepas meminta maaf kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 semasa majlis perkahwinannya dan seterusnya merentas negeri ke Langkawi, Kedah bersama suami Haris Ismail.

Tindakan mereka dikecam hebat oleh orang ramai yang menganggap pasangan itu langsung tidak menghormati undang-undang.

Neelofa dan suami minggu lalu masing-masing dikenakan kompaun RM20,000 dan RM10,000 kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 semasa majlis akad nikah mereka, yang juga tular di media sosial.

Polis turut mengenakan kompaun RM1,500 setiap seorang ke atas 20 ahli keluarga Neelofa kerana gagal menjaga jarak semasa majlis berlangsung. – 6 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen