Sokongan Melayu kepada Pakatan di Selangor menurun, menurut kajian


Chan Kok Leong

Menurut kaji selidik Merdeka Center sokongan Melayu terhadap Pakatan Harapan di Selangor menurun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mei, 2021.

SOKONGAN Melayu terhadap Pakatan Harapan (PH) di Selangor menurun setakat Mac, 2021, menurut kaji selidik yang dijalankan baru-baru ini.

Kajian Merdeka Center for Opinion Research menunjukkan hanya 27% orang Melayu yang ditemu bual memilih gabungan itu.

“Bagaimanapun, metrik lain mengenai orang Melayu Selangor seperti kepemimpinan, kerajaan negeri, prestasi penyampaian perkhidmatan ekonomi dan awam tetap positif dan meningkat,” kata Merdeka Center.

Ditanya adakah mereka akan mempertahankan PH di Selangor, 43% pengundi Melayu berkata “ya”, sementara 82% orang Cina dan 61% responden India juga bersetuju.

Secara keseluruhannya, tinjauan menunjukkan sokongan bagi mereka yang ingin mengekalkan PH untuk penggal keempat adalah 59% dengan 29% tidak setuju dan 12% lagi tidak pasti.

Sebanyak 55% daripada mereka berkata berpuas hati dengan kerajaan negeri sementara 35% tidak setuju dengan 9% tidak pasti.

PH di Selangor menikmati tahap kepuasan tertinggi pada 73% pada November 2018.

Sokongan tertinggi dalam kalangan pengundi Melayu kepada PH adalah pada 2013 ketika gabungan itu bersama PAS iaitu 42%.

Pada 2018, sokongan Melayu terhadap PH dianggarkan 37%, menurut kajian itu. 

Bagaimanapun sokongan pengundi Cina dan India kepada PH kekal stabil masing-masing pada 90% dan 58%. 

Kajian turut mendapati tahap sokongan tertinggi dalam kalangan pengundi Cina dan India terhadap gabungan itu adalah pada 2018 iaitu masing-masing 95% dan 80%. 

Dengan angka terbaharu itu, Merdeka Center berkata PH tetap bersedia untuk mengekalkan negeri berkenaan dalam pertembungan tiga penjuru dengan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN). 

“Namun PH di Selangor perlu menunjukkan lebih banyak usaha dalam menyelesaikan tekanan ekonomi dengan mewujudkan peluang pekerjaan dan peningkatan kemahiran. 

“Ia juga harus meningkatkan usaha untuk mengarahkan pelaburan dan meningkatkan aktiviti ekonomi.”

Merdeka Center berkata sokongan Melayu, Cina dan India untuk PN masing-masing adalah 44.2%, 6.1% dan 14.9%. Bagi BN, Merdeka Center menganggarkan sokongan di kalangan orang Melayu, Cina dan India berada pada 28.8%, 4.1% dan 27.6%.

Tinjauan persepsi pengundi terhadap pengundi Selangor dilakukan pada 16-24 Mac dan melibatkan 1,141 responden.

Tinjauan awal oleh Merdeka Center terhadap pengundi di Semenanjung Malaysia yang dikeluarkan bulan lalu menunjukkan penilaian kelulusan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tetap stabil pada 67% di tengah kebimbangan terhadap ekonomi dan pandemik Covid-19.

Tinjauan menunjukkan Muhyiddin mendapat sokongan kuat daripada pengundi Melayu pada 83% berbanding 30% dan 66% daripada masyarakat Cina dan India.

Ia turut menunjukkan peningkatan berbanding dengan penilaian kelulusan 63% yang dicatatkan pada akhir Januari 2021, kata Merdeka Center.

Merdeka Center berkata 2,111 responden berumur 21 tahun ke atas ditemuramah melalui telefon untuk tinjauan ini, yang dijalankan dari 31 Mac hingga 12 April. – 6 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen