Hanya kad Visa digunakan pada Olimpik Musim Sejuk 2018


SUKAN Olimpik Musim Sejuk PyeongChang hanya akan menerima kad kredit Visa bagi pembelian tiket, cenderahati dan barangan lain di venue temasya sukan itu, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap memetik kenyataan beberapa pegawai pada Ahad.

Langkah itu dilihat sebagai boleh mendatangkan kesulitan kepada pengguna kad lain.

Visa menikmati hak eksklusif sebagai satu-satunya kad kredit yang boleh digunakan untuk pembayaran pada temasya sukan musim sejuk itu kerana ia merupakan penaja global rasmi Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa.

Polisi hanya visa boleh digunakan berkemungkinan mendatangkan kesulitan kepada pengunjung, terutama rakyat China yang kebanyakannya menggunakan kredit kad UnionPay.

Pegawai Korea Selatan berkata mereka menjangkakan ramai rakyat China berkunjung ke Sukan Olimpik Musim Sejuk PyeongChang kerana Beijing bakal menjadi hos Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022.

Bagaimanapun, mereka yang tidak memiliki kad kredit Visa boleh membeli kad prabayar Visa dengan kad kredit lain untuk transaksi di venue Sukan Olimpik.

Mesin layan diri akan dipasang di venue Sukan Olimpik bagi membolehkan pengunjung membeli kad prabayar Visa.

“Kami sedang berusaha untuk memastikan bahawa tiada pemegang kad bukan Visa bakal berdepan sebarang kesulitan,” kata seorang pegawai kad Visa. – Bernama, 8 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen