Guna agama raih undi undang musibah, kata Rafidah


BEKAS menteri Rafidah Aziz memberi amaran sikap ahli politik yang berterusan menggunakan agama untuk meraih sokongan dan undi akan membawa musibah kepada negara.

Rafidah dipetik portal Free Malaysia Today berkata berdasarkan pengalaman panjangnya dalam politik, hala tuju negara nampak membimbangkan.

“Apabila agama dipolitikkan, anda akan terlencong daripada rukun sebenar agama. Anda tafsir agama mengikut nafsu supaya ‘menghalalkan’ matlamat anda. Saya bimbang melihat hal ini.

“Dalam 55 tahun menceburi politik, sejak zaman Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak…saya boleh ‘nampak’ keadaan kita sebelum ini, keadaan kita sekarang ini, dan ke mana kita selepas ini. Apa yang saya ‘nampak’ menakutkan saya,” katanya dalam temubual bersama FMT.

Justeru, Rafidah menggesa rakyat Malaysia supaya berfikir secara objektif pada pilihan raya umum akan datang. Ahli politik katanya suka berslogan dan mengubah mesej mengikut etnik pengundi yang disasarkan.

“(Kalau) Dia pergi ke majlis agama orang Islam, (dia) siap pakai serban dan sarung, cakap pasal ‘Allah’…(main) rentak Arab,” katanya.

“Kemudian dia pergi jumpa orang Cina, cakap pasal kita berbilang bangsa. Lepas itu dia pergi jumpa orang India pula…Ini semua tak patut. Kamu harus bercakap dengan semua sebagai rakyat Malaysia,” jelasnya.

Rafidah seterusnya berkata beliau lebih khuatir halu tuju negara dan rakyat secara keseluruhan, bukan hanya masa depan orang Melayu.

“Saya Melayu, tapi pertama-tama sekali saya rakyat Malaysia.”

“Kalau kita terus-menerus menyokong politik yang berat kepada kaum tertentu, kita tanam benih perselisihan.” – 5 Mei, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen