Misi bantuan Palestin diteruskan di bawah mandat PBB


Rakyat Palestin sedang memuatkan bantuan makanan yang diberikan oleh Agensi Kerja dan Bantuan Untuk Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA). – Gambar AFP, 8 Januari, 2018.

AGENSI Kerja dan Bantuan Untuk Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) pada Ahad berkata ia akan meneruskan tugasannya di bawah mandat Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) meskipun Israel menggesa agar agensi itu ditutup secara beransur-ansur, lapor agensi berita China Xinhua.

Penasihat media UNRWA, Adnan Abu Hasna berkata agensi itu ditubuhkan di bawah resolusi UNGA apabila majoriti negara anggota bersetuju untuk melanjutkan mandat UNRWA.

“UNRWA secara eksklusif menerima mandatnya daripada UNGA serta akan meneruskan kerja di bawah mandat ini sehingga isu pelarian Palestin diselesaikan secara adil dan kekal melalui semua pihak,” katanya.

Sementara itu, jurucakap UNRWA, Chris Gunness berkata UNRWA telah diberikan mandat yang luas oleh UNGA serta mendapat sokongan kuat agensi tersebut bagi misi kemanusiaannya.

Terdahulu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada mesyuarat kabinet mingguan berkata UNRWA perlu ditutup secara beransur-ansur.

Perdana Menteri Israel itu berkata langkah-langkah praktikal mestilah diambil untuk mengubah situasi yang menyaksikan “UNRWA mengekalkan masalah pelarian Palestin dan bukan menyelesaikannya.”

Israel dan laporan antarabangsa melaporkan tentang niat Amerika Syarikat untuk membekukan atau menangguhkan dana kewangannya kepada UNRWA serta menghentikan bantuan kepada rakyat Palestin sehingga mereka kembali ke meja rundingan dengan Israel.

Dalam hal ini, Abu Hasna berkata UNRWA tidak dimaklumkan mengenai sebarang keputusan rasmi Amerika Syarikat untuk menghentikan bantuan kewangan.

Beliau menegaskan bahawa UNRWA sudahpun mengalami defisit kewangan sebanyak AS$49 juta dan sebarang penggantungan dana akan memberikan impak negatif terhadap usaha-usahanya. – Bernama, 8 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen