Anak muda Sarawak fail semakan kehakiman turun usia pengundi sebelum PRN


Desmond Davidson

DUN Sarawak akan terbubar secara automatik pada 6 Jun tetapi pilihan raya tidak dapat diadakan kerana darurat di seluruh negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mei, 2021.

LIMA anak muda dari Sarawak memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuching untuk memaksa perdana menteri, kerajaan Malaysia, dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menurunkan usia pengundi dari 21 kepada 18 tahun, dan melaksanakannya menjelang Julai, sebelum pilihan raya Sarawak yang dijangka diadakan pada Ogos.

Permohonan Ivan Alexander Ong, pengasas organisasi masyarakat sivil Impak Pemuda; Viviyen Desi Geoge, Tiffany Wee Ke Ying, Grace Chang Swee Ern dan Sharifah Maheerah Syed Haizir, difailkan oleh penasihat undang-undang mereka Simon Siah dan Clarice Chan.

Kesemua anak muda ini, yang mewakili kempen Undi Sarawak, meminta pengisytiharan bahawa tindakan kerajaan menangguhkan penurunan usia undian adalah tidak rasional, tidak sah, dan merupakan penindasan kepada pengundi.

Mereka juga meminta pengisytiharan individu berusia 18 hingga 20 tahun akan mempunyai hak mengundi menjelang Julai 2021.

Permohonan semakan kehakiman mereka akan didengar pada 6 Mei.

Pada sidang media di Kuching hari ini untuk mengumumkan tuntutan mereka, anak muda ini berkata kelewatan pelaksanaan hingga tahun depan akan memberi kesan kepada antara 125,000 hingga 135,000 penduduk Sarawak di bawah usia 21 tahun yang tidak akan dapat mengundi pada pilihan raya negeri.

DUN Sarawak terbubarkan secara automatik pada 6 Jun tetapi pilihan raya tidak dapat diadakan kerana darurat di seluruh negara, untuk memerangi wabak Covid-19.

Ramai yang meramalkan ia akan diadakan selepas darurat tarik balik pada 1 Ogos.

Ketika ditanya mengapa semakan kehakiman baru diajukan sekarang, penguam Siah berkata ia masih memenuhi syarat undang-undang yang memerlukan ia difailkan dalam tempoh 90 hari dari 25 Mac.

Ini adalah tarikh Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh berkata Pendaftaran Pemilih Automatik (‘AVR’) dan penurunan usia pengundian hanya akan dilaksanakan selepas 1 September 2022. – 4 Mei, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen